02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Kerjasama Yayasan Muallaf Malaysia bantu pesakit Hospital Canselor Tuanku Muhriz

4 min read

Ia mungkin dianggap perkara kecil tetapi memberi makna cukup besar kepada penerima.

Sumbangan berupa kerusi roda kepada golongan tidak berkemampuan yang sangat memerlukan peralatan sokongan tersebut untuk kelangsungan hidup dapat membantu gologan pesakit ini menikmati kehidupan lebih baik.

Sikap prihatin itu diterjemahkan selebriti Shila Lama yang aktif bersama Yayasan Muallaf Malaysia tampil berbakti kepada masyarakat.

Justeru, Shila menerusi Yayasan Muallaf Malaysia mewakili pertubuhan amal antarabangsa, Helping Hands for Relief Development (HHRD) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis buat julung kali menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz, baru-baru ini.

Shila Lama. (Foto: HCTM)

Majlis Penyerahan Kerusi Roda Yayasan Muallaf Malaysia kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz diadakan di Galeri, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jaáfar, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur. Penyerahan kerusi roda ini disempurnakan Shila kepada HCTM yang diwakili oleh Prof. Madya Dr. Hanita Othman.

Shila berkata, tujuan utama mengadakan program kerjasama ini adalah untuk menyalurkan bantuan berupa kerusi roda untuk mereka yang memerlukan dan mempunyai kekangan dari segi kemampuan memiliki kerusi roda sendiri.

“Penerima adalah terdiri daripada mereka yang hilang keupayaan bergerak atau mereka yang termasuk dalam kategori orang kurang upaya,” katanya.

Shila (tiga dari kanan) bersama Dr Hanita (dua dari kanan) menyampaikan kerusi roda kepada salah seorang penerima di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur baru-baru ini. (Foto: HCTM)

Menurutnya, Yayasan Muallaf Malaysia yang ditubuhkan pada 6 Februari 2017 merupakan cetusan ideanya selaku pengasas yang juga pengerusi bersama beberapa orang rakan yang mempunyai visi sama ingin membantu dan membawa perubahan kehidupan lebih baik kepada komuniti muslim di Malaysia.

“Pembentukan Yayasan ini berdasarkan kepada realisasi perlunya sebuah organisasi masyarakat sivil yang khusus untuk mualaf bagi memenuhi keperluan masyarakat mualaf dalam semua aspek kehidupan, agama, budaya, pendidikan, ekonomi dan juga sosial.

“Visi keseluruhan kami adalah untuk membolehkan ahli komuniti mualaf menjalani kehidupan yang baik dan bermanfaat sebagai seorang Islam sejati iaitu secara individu dan kolektif serta membentuk sebahagian penting dalam masyarakat di Malaysia dan umat Islam secara global.

“Bermula pada tahun ini, YMM melebarkan sayap turut merangkumi ahli-ahli masyarakat lain termasuk juga mereka yang bukan Islam yang terkesan dan memerlukan bantuan, sebagai salah satu cabang dakwah,” katanya.

Shila dari Yayasan Muallaf Malaysia menyerahkan kerusi roda kepada Dr Hanita mewakili HCTM. (Foto: HCTM)

Merujuk kerjasama antara Yayasan Muallaf Malaysia dengan HHRD, Shila berpandangan pihaknya menjadi pengantara dalam menyampaikan sumbangan 50 unit kerusi roda pada tahun ini di mana 20 unit diberikan kepada HCTM.

“HHRD merupakan sebuah organisasi global yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang mana fokus utamanya adalah menjalankan misi-misi kemanusiaan antaranya memberikan respons segera sewaktu berlaku bencana alam dan pengurusan bencana.

“Selain itu, mereka turut mengusahakan program-program bantuan dan pembangunan jangka panjang. Mereka juga menyumbang hospital supplies seperti perubatan dan peralatan.

“HHRD juga telah menjalinkan kerjasama atau digelar country partner dengan lebih dari 80 negara di seluruh dunia. Alhamdulillah, mereka memilih YMM sebagai partner untuk Malaysia dan HHRD kini merupakan funder terbesar kami dan kerjasama antara kami sebenarnya pun baru sahaja bermula, iaitu pada April 2023,” katanya.

Antara penerima sumbangan kerusi roda yang diraikan Yayasan Muallaf Malaysia bersama HCTM. (Foto: HCTM)

Jelasnya, antara program kerjasama yang dijalankan bersama adalah menyampaikan sumbangan Ramadhan Foodpack atau bakul rezeki untuk 1,200 keluarga pada Ramadan lalu.

Foodpack ini adalah bekalan makanan asas yang mencukupi untuk selama sebulan sepanjang berpuasa dan tidak perlu risau tentang makanan dan boleh memberikan tumpuan kepada ibadah di bulan Ramadan.

“Selain itu, sumbangan laptop untuk mahasiswa, program sumbangan makanan berbentuk seperti RMT untuk 200 pelajar daripada keluarga miskin sepanjang tempoh persekolahan untuk setahun, program Economy Empowerment untuk wanita dan kami memilih bidang baking yang akan dilaksanakan sejurus selepas tamat program kerusi roda ini, insya-Allah,” katanya.

Shila (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Dr Hanita sambil disaksikan Prof Madya Dr Jamari Sapuan (kanan sekali), Datuk Mohd Chan Abdullah (dua dari kiri) dan anaknya, Datuk Nik Chan Abdullah. (Foto: HCTM)

Ujarnya, satu lagi program pada tahun ini ialah membekalkan air bersih untuk komuniti atau penempatan yang menghadapi masalah air yang serius.

“Projek tersebut adalah mengadakan piping system untuk menyalurkan air bersih dan untuk tempat yang sukar mendapatkan sumber air, kami akan menggunakan teknik gerudi untuk mendapatkan sumber air tersebut. Antara tempat yang dikenal pasti ialah perkampungan Orang Asli dan remote area, seperti di Sabah atau Sarawak dan kampung-kampung yang terjejas seperti di Kelantan,” katanya.

Yayasan Muallaf Malaysia tampil menyalurkan sumbangan kerusi roda kepada HCTM. (Foto: HCTM)

Shila menjelaskan sebanyak 5 unit kerusi roda diserahkan kepada Unit Kebajikan HCTM untuk kegunaan pesakit di hospital. Pada majlis tersebut, tetamu turut dijamu dengan tajaan Restoran Mohd Chan.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Datuk Mohd Chan dan team Dato, di atas tajaan makan tengah hari kita pada hari ini. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan Media, terima kasih kerana sudi hadir dan memberikan sokongan kepada usaha kecil kami.

“Khususnya kepada saudara dan saudari penerima bantuan, menjadi harapan kami semoga pemberian ini dapat membantu dalam menyenangkan urusan kehidupan seharian dan memberikan sedikit keceriaan kepada kalian,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *