“Fokus dan hala tuju FDAM kini mempertingkatkan kualiti pengurusan persatuan” – Pemangku Presiden FDAM
2 min read
Berita gembira buat seluruh ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) apabila dibenarkan beroperasi secara rasmi semula.
Keputusan tersebut diputuskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas Ahli Jawatankuasa (AJK) selesai mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), kelmarin (24 Oktober 2023).
Pemangku Presiden, Datuk Zulkeflie M Osman berkata, merujuk surat KDN bertarikh 15 September 2023 menyatakan keputusan rayuan FDAM diluluskan dengan syarat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 18, Akta Pertubuhan 1966.
“Sehubungan dengan itu, FDAM diminta hadir ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mendapatkan khidmat nasihat berhubung maklumat dan tindakan penambahbaikan yang dikemukakan kepada JPPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam tempoh 90 hari dari tarikh surat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, pertemuan FDAM dihadiri beliau sendiri bersama Setiausaha, Haji Mohamad Zaini Hassan dan Bendahari, Logananthan Kanabathy ke pejabat JPPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjalan lancar dan baik.
“Dalam pertemuan tersebut, beberapa perkara diminta pihak JPPM seperti logo rasmi FDAM masih belum diluluskan penggunaannya sehingga diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang akan diadakan pada penghujung tahun ini.
“Pihak FDAM mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Timbalannya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan pegawai di KDN serta JPPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang membantu FDAM untuk beroperasi semula,” katanya.

Ujarnya, pihak pengurusan FDAM juga berterima kasih kepada semua ahli FDAM atas kepercayaan dan sokongan tanpa berbelah bagi dengan memberikan ruang dan masa kepada pengurusan pentadbiran, Penasihat dan Ahli Jawatankuasa FDAM untuk memulihkan kemelut yang melanda.
“Penghargaan juga kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) atas dorongan, nasihat dan sokongan dalam membantu usaha memulihkan status FDAM yang terbatal sebelum ini.
“Kadangkala oleh kerana kebiasaan itu membuatkan kita terlepas pandang terhadap sesuatu perkara yang boleh menjejaskan kualiti pengurusan persatuan sendiri. Fokus dan hala tuju FDAM kini untuk mempertingkatkan kualiti pengurusan persatuan termasuk langkah-langkah penambahbaikan dan idea-idea baharu yang perlu ada bagi kemajuan persatuan,” katanya.
Zulkeflie juga mengharapkan agar hubungan serta kerjasama FDAM dengan pihak kementerian, jabatan dan pihak swasta yang berkaitan dengan perfileman serta stesen TV akan lebih diperkukuhkan selepas ini.
“Demikian juga usaha berterusan FDAM dalam mengembangkan kerjasama luar dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS).
“Sebagai persatuan tunggal yang mentauliahkan pengarah filem di Malaysia, pihak FDAM sentiasa mengharap sokongan penuh daripada semua pihak dalam melahirkan pengarah yang kompeten serta dapat menyahut cabaran dalam dunia perfileman seiring kemajuan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) pada masa kini,” katanya.
- Kafebuzz.my

