02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Kejayaan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan buka mata, FINAS berjuang demi masa depan industri perfileman Malaysia

3 min read

Banyak perkara kita semua khusus pembikin filem dapat belajar daripada kejayaan filem epik, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang lebih laris daripada pisang goreng panas.

Filem yang masih ditayangkan di pawagam ini bukan saja mengangkat salah seorang pahlawan Melayu yang banyak berjasa ketika menentang penjajah Inggeris tetapi ia membuktikan filem Melayu mampu raih kutipan RM53 juta dalam tempoh 13 hari tayangan.

Pencapaian yang dianggap luar biasa filem arahan Syamsul Yusof ini mula membuka mata ramai pihak. Mungkin ada yang memasang impian mahu menghasilkan filem sejarah, tidak kurang ada pula yang mempersoal berapa banyak keuntungan sebenar yang produser dapat.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam satu kenyataan media menjelaskan filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd itu turut mendapat geran Dana Produksi sebanyak RM1.5 juta dan Dana Pemasaran iaitu RM300,000. Malah, FINAS juga membantu dari aspek pascaproduksi apabila proses suntingan dijalankan di Studio Mixstage, FINAS.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim berkata, fenomena filem tersebut yang juga melanda Brunei dan Singapura membuktikan filem tempatan mampu meraih kepercayaan penonton ke pawagam selepas COVID-19 selama dua tahun.

Profesor Dr Md Nasir Ibrahim. (Foto: FINAS)

Siapa kaut untung lebih?

Menjawab isu duti hiburan sebanyak 25 peratus yang lazimnya dikenakan kepada filem tempatan yang ditayangkan di pawagam, Dr Md Nasir menjelaskan FINAS sangat komited membantu pembikin filem menerusi Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) yang diperkenalkan sejak 1 Julai 2011 menggantikan Pemberian Galakan Pungutan Duti Hiburan.

“Insentif ini ihsan kerajaan dalam membantu pembikin filem tempatan yang perlu membayar duti hiburan sebanyak 25 peratus kepada kerajaan negeri yang sudah tidak disalurkan semula kepada FINAS sejak 2000.

“FINAS meneruskan insentif ini kerana menyedari kepentingan industri seni kreatif yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara. Justeru, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berpeluang menerima pulangan sebanyak RM500,000 kerana kutipan tiket sudah melebihi RM6 juta,” katanya kepada Berita Harian.

Difahamkan kadar duti hiburan di negara jiran hanya 7 peratus malah, kerajaan Thailand juga memulangkan bayaran ini kepada produser filem agar lebih banyak filem berkualiti dapat dihasilkan.

Malaysia antara negara yang mempunyai duti hiburan tertinggi apabila pernah mengenakan duti hiburan sebanyak 40 peratus suatu ketika dulu.

Apa tindakan seterusnya?

FINAS tidak hanya berdiam diri melihat isu duti hiburan mahupun nasib pembikin filem ‘ditindas’ pihak pawagam tanpa ada jalan penyelesaian terbaik.

Dr Md Nasir mengambil langkah bijak apabila FINAS mengadakan mesyuarat dengan pihak pawagam dan produser untuk berbincang lebih lanjut mengenai agihan keuntungan daripada jualan tiket antara pihak terbabit dan mencari garis panduan yang lebih jelas dan adil.

Tindakan proaktif FINAS membuahkan hasil selepas FINAS memberi tempoh seminggu kepada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) membentangkan kertas kerja mekanisme pengiraan baharu berdasarkan prestasi filem tempatan yang ditayangkan di pawagam agar ia mewujudkan situasi menang-menang.

Dalam mesyuarat itu, MAFE dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) bersetuju untuk mengkaji semula pembahagian kutipan tiket yang ketika ini lebih memihak kepada pawagam.

Penstrukturan semula agihan keuntungan dengan mengambil kira prestasi filem tempatan yang ditayangkan pastinya sangat penting demi masa depan semua produser filem tanah air.

Jika mekanisma baru ini nanti berjaya memberi keuntungan lebih pada produser, ini bakal memberikan berita gembira pada semua pembikin filem dan sekali lagi mencipta kejayaan pada industri perfileman tempatan. Apa yang jelas, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan tidak hanya mencipta sejarah baru pada kejayaan filem Melayu tetapi ia membuka mata ramai pihak bercerita aspek plot, fakta sejarah, pahlawan Melayu hingga soal siapa yang kaut untung lebih daripada kutipan jualan tiket di pawagam. Jika Mat Kilau berjasa pada Tanah Melayu, FINAS pula meninggalkan satu pencapaian terbaik buat industri.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *