03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Karnival Jom Heboh kembali, raikan sambutan ulang tahun TV3 ke-39

2 min read

Sebut Jom Heboh, ramai yang teruja untuk datang.

Acara padang paling lama di Malaysia, Karnival Jom Heboh (KJH) kembali menemui peminat dan pengunjung pada tahun ini. Lokasi pertama untuk edisi tahun 2023 menyaksikan Karnival Jom Heboh Selangor Generasi Muda akan diadakan dan lebih istimewa, acara ini turut meraikan sambutan ulang tahun TV3 ke-39.

Sambil bersantai bersama-sama ahli keluarga dan rakan, acara ini akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula 2 Jun di Dataran Karnival Stadium Shah Alam, Selangor dari 9 pagi.

Pelbagai reruai menarik menanti pengunjung. Sudah tentu Media Prima Berhad menampilkan rangkaian produk popular seperti TV3, TV9, ntv7, Tonton, WOWSHOP, New Straits Times, Berita Harian, Harian Metro, Hot FM, Buletin FM, Molek FM, Waktu Solat Malaysia, OH BULAN, Sirap Limau, SEISMIK TV, VOCKET, dan Drama Sangat.

Karnival Jom Heboh Selangor Generasi Muda dijayakan dengan kerjasama Exco Generasi Muda, Sukan & Modal Insan Negeri Selangor. Antara aktiviti menarik yang disediakan kepada pengunjung antaranya bola sepak jalanan, penampilan maskot seperti Ejen Ali, Little Ammar dan Mina Mila, Makan-Makan Festival dan Konsert Jom Heboh.

Bersempena sambutan ulang tahun TV3 ke-39 di KJH, pelbagai aktiviti menarik dan eksklusif boleh disertai pengunjung seperti pameran kereta Fast X, pameran anime, pertandingan cosplay serta jualan eksklusif cenderahati ulang tahun TV3 ke-39 dengan kolaborasi istimewa bersama Alha Alfa (gincu) dan Ameera Zaini (tudung) di reruai Jom Heboh.

Bagi peminat tegar anime, jangan ketinggalan menyertai pertandingan cosplay yang akan diadakan pada 3 Jun. Terdapat dua kategori iaitu kategori kanak-kanak pada jam 11.30 pagi dan kategori dewasa, jam 2.30 petang. Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM390 (kategori kanak-kanak) dan RM3,900 (kategori orang dewasa). 

Studio Drama Sangat juga berwajah baharu dan dikenali sebagai Studio Tonton Drama Sangat menghimpunkan program-program menarik bersama-sama selebriti popular seperti Izzue Islam, Ropie dan Siti Sisters (I Can See Your Voice Malaysia 6), Zahirah MacWilson (Tonton Original: Metro Crime Series), Afifah Nasir, Aya Amiruddin dan Mark Adam (Tonton Original: Pontianak 100KG), Ismail Izzani, Muaz Zabir dan Liza Abdullah (Akasia: Bukan Hanya Sekadar Cinta), Puteri Balqis (Lestary: Diva Seroja), Nelissa Nizam dan Aiman Wynne (Sakura: Kampung Mat Saleh) serta Adam Lee dan Sweet Qismina (Samarinda: Malam Zulaikha).

Pengunjung hanya perlu muat turun aplikasi Tonton dari Google Play atau App Store dan mendaftar akaun untuk masuk ke Studio Tonton Drama Sangat. Bagi mereka yang melanggan pakej TontonUp boleh mendapat akses untuk menyaksikan tayangan perdana episod terbaharu drama bersiri dan berpeluang untuk beramah mesra dengan selebriti kesayangan secara dekat di KJH.

Tidak ketinggalan KJH akan digegarkan persembahan mantap daripada Khai Bahar, Hazama, Shiha Zikir, Aizat Amdan, Black Hanifah, Haqiem Rusli, Ismail Izzani, Floor 88 dan ramai lagi pada malam Sabtu dan Ahad jam 9 malam. 

Orang ramai dipelawa datang beramai-ramai ke Karnival Jom Heboh Selangor Generasi Muda yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 Jun 2023 di Dataran Karnival Stadium Shah Alam dari 9 pagi. 

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *