02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

“Kami ‘tumpahkan’ darah dan peluh untuk filem ini” – Salman Khan mahu Radhe: Your Most Wanted Bhai berbaloi buat penonton

3 min read

Aura sebagai hero memang tiada tandingan.

Biarpun ramai pelakon baharu diberi kepercayaan membawa watak utama dalam filem, sebaliknya kehebatan Superstar Bollywood, Salman Khan tetap terserlah.

Hakikat yang tidak boleh dinafikan, Salman masih mempunyai aura yang kuat untuk menghidupkan plot seterusnya menarik perhatian peminat untuk menonton filem lakonannya.

Istimewa sempena sambutan Aidilfitri kali ini, Salman mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari raya pada semua peminatnya menerusi status di Instagram akaunnya.

Aksi Salman Khan masih dinantikan ramai peminat.

Lebih bermakna, dalam ucapan tersebut dia juga menyatakan penghargaan kepada peminatnya yang menyokong filem terbaharunya berjudul Radhe: Your Most Wanted Bhai yang meraih sambutan menggalakkan.

“Terima kasih pada semua untuk hadiah yang begitu indah dengan menjadikan Radhe sebagai filem paling ditonton pada hari pertama. Industri filem tidak akan hidup tanpa kasih sayang dan sokongan anda, terima kasih,” katanya.

Dalam keghairahan peminat Salman untuk menonton filemnya ini, aktor itu berharap penonton memikirkan Radhe: Your Most Wanted Bhai suatu yang berbaloi daripada wang yang dibelanjakan.

Salman bertindak sebagai pelakon utama dan produser filem Radhe: Your Most Wanted Bhai.

Salman berkata, dia lebih bekerja keras untuk filem terbaharunya ini dibandingkan filem lain. Dia mempunyai kepercayaan terhadap filem ini berjaya diterbitkan untuk memberikan hasil yang terbaik.

“Kami ‘tumpahkan’ darah dan peluh untuk filem ini dan kami menayangkannya ketika waktu yang sangat mencabar.

“Kami sudah mencuba sedaya upaya dan kami berharap setiap penonton menyukai filem ini,” katanya sepertimana dilaporkan media antarabangsa, Hindustan Times.

Peminat Malaysia tidak ketinggalan

Filem terbaharu ini menemui penonton Malaysia bermula 3 Jun lalu.

Di Malaysia, aura Salman juga masih kuat dalam kalangan ramai peminatnya yang menantikan filem ini ditayangkan. Menariknya, ketika negara berdepan situasi pandemik COVID-19 yang mencecah kes tinggi hingga kerajaan terpaksa mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ‘total lockdown’, peminat masih berpeluang menonton filem ini bukan di pawagam tetapi di rumah.

Apa yang lebih mengujakan sebenarnya, filem ini bukan hanya ditonton satu golongan tetapi pelbagai bangsa termasuk Melayu yang meminati lakonan Salman dan filem Bollywood.

Sepertimana peminat tahu, kekuatan filem Bollywood seperti Radhe: Your Most Wanted Bhai tidak hanya menjual superstar mereka untuk menjadi pelakon utama tetapi gabungan barisan pelakon lain seperti aktres jelita, Disha Patani, Jackie Shroff dan Randeep Honda menjadi pelengkap lakonan dalam filem ini.

Lakonan Salman di layar perak pastinya mengujakan ramai penonton.

Impian peminat tempatan menonton filem ini menjadi kenyatan selepas ia dibawakan MSK Film Production Sdn Bhd dan KS Movie Sdn Bhd dengan kolaborasi Zee Studios. Dalam filem arahan Raja Tari, Prabhudeva, Salman turut bergandingan dengan Disha dalam muzik video filem ini yang berjudul Seeti Maar. Lirik dan melodi yang membuaikan berjaya menarik perhatian penonton untuk menyanyi dan menari bersama apabila menonton muzik video tersebut.

Kesungguhan Salman dalam filem ini tidak hanya sebagai pelakon tetapi dia juga bertindak sebagai produser bersama Sohail Khan dan Atul Agnihotri. Plot filem ini mengisahkan Radhe lakonan Salman merupakan seorang pegawai polis yang ditugaskan untuk menyelesaikan kes jenayah membabitkan sindiket dadah yang merosakkan golongan remaja yang berlaku di Mumbai, India.

Muzik video lagu tema filem ini berjudul Seeti Maar mudah tarik perhatian penonton untuk menari dan menyanyi bersama.

Buat peminat dan penonton filem Bollywood, jangan lepaskan peluang berhibur dengan Salman menyaksikan filem Radhe: Your Most Wanted Bhai di pawagam rumah anda iaitu menerusi Astro First dan tonton CINEMA (cinema.tonton.com.my).

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *