02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

“Kami bukan pemain pilihan anda tapi kami berkerja keras bagi anda gembira” – Faisal Halim hadiahkan gol buat Harimau Malaya

2 min read

Pasukan Harimau Malaya terus menunjukkan prestasi membanggakan apabila mengatasi Thailand dengan satu gol pada perlawanan separuh akhir AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.

Beraksi di hadapan 59,000 penyokong yang hadir, persembahan pasukan Kebangsaan tetap mendapat pujian penyokong meskipun lebih banyak bertahan daripada asakan pihak lawan dalam separuh masa pertama dan kedua.

Apa yang lebih bermakna, gol tunggal Malaysia dijaringkan penyerang berbisa, Faisal Halim yang meraikan gol peribadinya itu bersempena hari jadi ke-25 hari ini.

Pasukan Harimau Malaya beraksi di separuh akhir pertama AFF Mitsubishi Electric Cup 2022. (Foto: FAM_Malaysia)

Mengulas mengenai kemenangan Harimau Malaya pada perlawanan separuh akhir pertama itu, Faisal menyatakan segalanya rezeki daripada Allah dan dia bersyukur berada di tahap sekarang apabila beraksi untuk pasukan negara.

“Terima kasih pada semua yang menyokong kejayaan saya dan pasukan Harimau Malaya. Ini semua kerja keras pemain-pemain.

“Saya bangga dengan rakan-rakan saya. Mereka banyak membantu saya, tanpa mereka siapalah saya dan hari ini kita membuktikan kita mampu bersaing dan kita ada 90 minit lagi di Thailand, insha Allah,” katanya ketika ditemu bual Astro Arena yang disiarkan secara langsung.

Faisal berjaya menjaringkan gol pada minit ke-12 pada perlawanan separuh akhir pertama antara Malaysia menentang Thailand, malam tadi. (Foto: FAM_Malaysia)

Menurutnya, dia bersama rakan sepasukan akan cuba memberikan prestasi terbaik pada perlawanan separuh akhir kedua yang akan diadakan pada 10 Januari ini.  

“Walaupun kurang 20,000 orang penonton tapi lihatlah semua yang datang rakyat Malaysia, kami bangga dan berterima kasih. Kita tak expect, walaupun orang komen macam-macam di media sosial tapi semangat kami satu pasukan dan kami bersatu untuk rakyat  Malaysia,” katanya.

Barisan pemain Kebangsaan yang diturunkan menentang Thailand pada separuh akhir pertama. (Foto: FAM_Malaysia)

Faisal mengharapkan semua pemain perlu berdoa, tawakal dan bekerja keras untuk menang pada saingan penentuan sebelum ke final.

“Kita bersama kuat satu jiwa, rakyat Malaysia mendoakan kita untuk kejayaan. Sesungguhnya kami sudah buat yang terbaik, rezeki daripada Allah.

“Sekiranya kami layak ke final syukur alhamdulillah, kami cuba buat yang terbaik. Kami bukan pemain pilihan anda tapi kami berkerja keras bagi anda gembira,” katanya.

Jurulatih, Kim Pan Gon berjaya membawa Harimau Malaya hingga ke peringkat separuh akhir AFF Mitsubishi Electric Cup 2022. (Foto: FAM_Malaysia)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *