01/07/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Isu kerja lebih masa, kenapa artis atau persatuan hiburan sendiri tidak menempelak produser atau stesen TV?

3 min read

Isu pelakon atau kru produksi bekerja hampir 20 jam sehari yang kecoh kebelakangan ini bukan isu baru berlaku dalam industri perfileman dan TV tempatan.

Dalam kalangan pekerja industri sama ada pelakon dan kru produksi, kebanyakan faham tempoh kerja tidak menentu sudah menjadi ‘asam garam’. Berkerja dari ‘call time’ seawal 7 pagi hingga habis subuh keesokan hari adalah perkara biasa yang dilalui bagi sesebuah penggambaran.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim memberikan penjelasan pekerja dalam industri perfileman tidak terkecuali merujuk pada Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.

“Dalam hal ini, adalah ditekankan bahawa Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) tidak memberi kuasa perundangan kepada FINAS berhubung aspek tempoh waktu kerja.

“Akta 244 juga tidak boleh mengatasi peruntukan Akta Kerja 1955 yang terpakai dan berkuat kuasa dalam aspek jumlah waktu bekerja. Maka, pandangan bahawa FINAS mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan ataupun menetapkan had masa kerja penggiat seni adalah tidak tepat sama sekali malah ia bercanggah dari segi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan media FINAS pada 2 Januari lalu.

Dalam mencari jalan penyelesaian terbaik, Dr Md Nasir juga menyatakan FINAS mengambil pendekatan bersikap terbuka dan proaktif mengundang wakil persatuan seperti Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) serta entiti pemegang taruh lain yang berkepentingan untuk membincangkan isu berkenaan secara profesional dalam masa terdekat.

Prof Dr Md Nasir Ibrahim. (Foto: FINAS Malaysia)

Apa persatuan hiburan buat?

FINAS sudah memberikan kenyataan, bagaimanapun masih ada pihak termasuk presiden persatuan yang menuding jari kepada agensi kerajaan tersebut. Mengapa masih mahu menyalahkan FINAS dalam isu ini hingga menuduh CEO FINAS ‘makan gaji buta’?

Penganalisis hiburan, Elrafaei Sapi berpandangan persatuan hiburan atau dikenali juga sebagai persatuan industri kreatif yang mewakili penggiat seni sepatutnya memainkan peranan utama dalam memperjuangkan kebajikan ahli mereka termasuk isu kerja lebih masa.

“Ahli Jawatankuasa persatuan hiburan masing-masing lebih arif bab isu kerja lebih masa kerana mereka juga pernah lalui pengalaman sedemikian sama ada sebagai pelakon, kru produksi mahupun pengarah. Hakikatnya, bukan FINAS yang harus dipersalahkan tetapi isu ini lebih merujuk pada produser dan stesen TV yang menentukan waktu bekerja sebegitu.

“Orang luar tak faham tapi penggiat seni rasanya semua faham produser terikat dengan perjanjian atau kontrak dan komitmen untuk menyiapkan sesebuah penggambaran mengikut masa yang diberikan, jika tidak mereka terpaksa menanggung kos tambahan produksi. Jika mahu isu ini diselesaikan, kenapa artis atau persatuan hiburan sendiri tidak menempelak produser atau stesen TV?,” katanya.

Ujarnya, isu kerja lebih masa akan terus berpanjangan jika tiada perbincangan lebih fokus dilakukan antara artis atau kru produksi atau persatuan hiburan dengan produser atau stesen TV.

“Masing-masing cari makan. Mungkin pelakon atau kru produksi takut bersuara bimbang disenarai hitam produser atau stesen TV jika tidak mengikut kehendak produser dan stesen TV berkenaan untuk projek penggambaran yang dirancang.

“Justeru, apabila memilih bidang seni seperti ini penggiat seni terpaksa mengikut apa yang disuruh seperti dalam kontrak. Bagaimanapun, soal kerja lebih masa boleh diselesaikan atas budi bicara produser dan stesen TV,” katanya.

Elrafaei yang berpengalaman luas sebagai pengamal media dan pengarah filem berharap persatuan hiburan mengambil peluang menerima pelawaan Dr Md Nasir untuk berjumpa bagi mencari jalan penyelesaian terbaik. Lebih cantik sekiranya, pertemuan ini juga disertai produser dan ‘bos’ stesen TV.

“Buat apa nak cari gaduh sedangkan kita semua sama-sama cari makan dalam industri yang sama. Dalam aspek ini, kita perlu lebih profesional, matang dan bijak dalam bertindak dan bukannya dipengaruhi emosi mahupun meluahkan rasa tidak puas hati,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *