Industri kreatif dan digital Malaysia catat RM29.4 bilion jumlah KDNK, sasar RM31.9 bilion pada 2025
2 min read
Industri Kreatif termasuk kandungan kreatif digital seperti animasi, permainan digital, media interaktif, komik digital dan lain-lain menyumbang sebanyak RM29.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sentiasa komited dan menyokong aspirasi Kerajaan dalam pembangunan industri kreatif dan digital yang dikenal pasti sebagai antara penyumbang positif kepada KDNK.
“Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui agensinya seperti FINAS, MyCreative Ventures, CENDANA dan MDEC menawarkan pelbagai program dalam bentuk kemudahan pembiayaan, pembangunan kapasiti, akses dan promosi bagi meningkatkan penglibatan orang ramai terutamanya golongan belia untuk menjadikan industri ini sebagai sumber pendapatan mereka.
“Sebagai contoh, MyCreative Ventures dan CENDANA menyediakan peruntukan sebanyak RM11.16 juta melalui Program Geran Pembiayaan Peralatan Muzik dan Online Streaming, Pinjaman Mikro Usahawan Kreatif, Program Pembiayaan Karya Kilat dan Program Pembiayaan Muzik Independen yang melibatkan pembangunan bakat, bantuan pinjaman mudah, bantuan geran untuk pemasaran serta platform untuk penciptaan produk dan perkhidmatan bernilai tinggi,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan di Dewan Rakyat, hari ini.
Zahidi menjawab soalan mengenai perkembangan terkini dua industri iaitu kreatif dan digital negara yang melibatkan khasnya belia dan perancangan yang dilakukan kerajaan untuk menjadikan dua industri tersebut sebagai sumber pendapatan.
Tambahnya, FINAS melalui program-program di bawah Dana Kandungan Digital seperti Dana Program Mikro Pengkarya, Dana Inspirasi, Dana Program TV/OTT dan Dana Kandungan Digital Kenegaraan 3.0 di bawah inisiatif PRISMA 2.0 turut membantu penggiat industri termasuklah golongan belia dalam penghasilan karya melalui pembangunan kandungan industri kreatif dengan jumlah peruntukan sebanyak RM38 juta.
“MDEC turut melaksanakan pelbagai program untuk membuka peluang dan memberi manfaat terutamanya kepada
golongan belia seperti Program Global Online Workforce (GLOW), Program Premier Digital Tech Institutions (PDTI), Program Pembangunan Perusahaan Kandungan Digital (PRISMA EDP), Program Penggalakan Penstriman dan Kandungan Video serta Kempen Usahawan Muda di bawah program eUsahawan.
“Di samping itu, Program LEVEL UP@Schools atau program pembangunan aplikasi permainan digital dan Kre8tif!@Schools bagi penghasilan animasi mudah telah disediakan khususnya kepada golongan pelajar. Sehingga kini, seramai lebih kurang 270 ribu peserta yang terdiri daripada golongan belia telah mendapat manfaat daripada program-program tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, KKMM menyasarkan RM31.9 bilion dapat disumbangkan kepada KDNK pada tahun 2025.
- Kafebuzz.my

