FPM, UiTM bersama CyberSecurity Malaysia tingkat kebolehpasaran graduan profesional, berpengetahuan luas dan cemerlang
2 min read
Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM) dan CyberSecurity Malaysia memeterai memorandum perjanjian (MoA).
Majlis diadakan secara maya di mana UiTM diwakili Naib Canselor, Profesor Ts Dr Roziah Mohd Janor dengan CyberSecurity Malaysia diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ts Dr Amirudin Abdul Wahab FASc. MoA ini ditandatangani memandangkan pihak UiTM sentiasa peka dalam mengenal pasti kepentingan perkongsian pintar bersama institusi luar dengan bertujuan menggalakkan kerjasama dalam pelbagai bidang demi manfaat kedua-dua pihak.
UiTM dalam satu kenyataan media menyatakan kerjasama ini selaras dengan hala tuju dalam Pelan Strategik UiTM2025 iaitu ‘global branding and smart partnership’ ke arah menjadikan UiTM ‘globally renowned university’ menjelang tahun 2025.
“Kerjasama ini juga seiring dengan Education 5.0 serta keperluan industri yang secara langsung akan meningkatkan kebolehpasaran graduan. Pada masa sama, UiTM yakin melalui kerjasama seperti ini, pemindahan ilmu dan usahasama latihan kemahiran yang berterusan dapat melahirkan graduan profesional yang berpengetahuan luas dan cemerlang yang mampu menyumbang kepada pembangunan diri, masyarakat dan negara.
“Dalam era dunia tanpa sempadan ini, jalinan kerjasama universiti dengan industri merupakan satu elemen penting bagi memastikan kejayaan dan kelestarian sesebuah organisasi,” katanya.

Antara bidang dikenal pasti melibatkan kepakaran dan keupayaan CyberSecurity Malaysia melalui kerjasama strategik ini adalah pembangunan modal insan yang berupaya mengendalikan penyelidikan keselamatan siber dan penilaian privasi bagi melahirkan gradĂșan sebagai tenaga pakar berpengetahuan dan berkemahiran di dalam bidang keselamatan maklumat dan perlindungan data peribadi melibatkan tiga domain utama keselamatan maklumat iaitu produk, proses dan kompetensi.
Bidang lain termasuk membantu organisasi untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan terhadap ancaman keselamatan maklumat melalui penilaian sistematik berdasarkan piawaian antarabangsa dan amalan terbaik.
“Pengurusan Sistem Keselamatan Maklumat atau ISMS yang menitikberatkan kesedaran dan latihan yang berterusan, di mana ia berupaya meningkatkan moral dan komitmen kakitangan dalam melindungi maklumat penting organisasi selain mewujud, melaksana, mengoperasi, memantau, menilai semula, menyelenggara dan menambah baik kualiti sistem maklumat.
“Pengurusan Sistem Kesinambungan Perkhidmatan (Business Continuity Management System – BCMS) berasaskan pendekatan analisis impak kepada organisasi apabila berlakunya bencana, di mana organisasi berupaya untuk terus beroperasi dengan sokongan teknologi dan kepakaran,” katanya.

Tambahnya, kerjasama strategik yang dijalinkan ini mengkhususkan kepada peningkatan kemahiran, pengetahuan dan perkembangan intelektual pelajar di era digital dalam bidang sains maklumat. Secara khususnya, CyberSecurity Malaysia dan Universiti Teknologi Mara melalui FPM akan berkoloborasi di dalam ‘Training & Assessment Program’ yang dipersetujui secara bersama dan mewujudkan hubungan dua hala berasaskan teknologi sains maklumat.
FPM, UiTM adalah fakulti perintis di Malaysia menyediakan pendidikan profesional dalam jurusan pengurusan maklumat. Sejajar perkembangan teknologi terkini, UiTM sentiasa memperkukuhkan kemahiran pelajar bagi memenuhi keperluan kemahiran pekerjaan menjelang tahun 2030 seperti dinyatakan The World Economic Forum, di dalam The Future of Job Report.
“Kerjasama yang bakal berlangsung di antara kedua-dua pihak ini akan memastikan aspek penyampaian perkhidmatan meningkat ke tahap lebih tinggi melalui proses penambahbaikan berterusan dengan menumpukan kepada peningkatan kepakaran modal insan. Kedua-dua pihak ini diharap mampu bekerjasama dengan erat dan
memperhebatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan di dalam bidang Sains Maklumat,” katanya.

- Kafebuzz.my

