03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

GPM kutuk pengeboman masjid di utara Kunduz

2 min read

Global Peace Mission (GPM) Malaysia melahirkan rasa kesal dan mengutuk sekerasnya tindakan pengeboman berani mati yang berlaku di sebuah masjid di utara Kunduz, Afghanistan ketika solat Jumaat pada hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata tindakan tidak berperikemanusiaan itu dilaporkan membunuh hampir 100 orang dan mencederakan ratusan yang lain.

“Di dalam keadaan Afghanistan yang masih belum stabil selepas pengambilalihan kerajaan Taliban pada 15 Ogos lalu, tindakan sebegini hanya akan meningkatkan lagi tekanan kepada masyarakat Afghanistan.

“Pengeboman ini adalah yang kedua berlaku sepanjang pasukan GPM berada di Afghanistan selepas pengeboman pertama berlaku di Eid Gah, Kabul yang mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang,” katanya dalam satu kenyataan kepada Kafebuzz.

Hampir 100 mangsa terkorban di sebuah masjid di utara Kunduz, Afghanistan ketika solat Jumaat.

Tambahnya, sejak pertengahan September lalu, GPM kini berada di Afghanistan dalam usahanya menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terkesan secara langsung mahupun tidak langsung ekoran konflik peperangan. Hadir bersama adalah pasukan Muslim Volunteer Malaysia (MVM).

“GPM turut menggesa agar semua pihak yang bertelagah agar menyelesaikan permasalahan di meja rundingan dan tidak melibatkan keselamatan dan kehilangan nyawa orang awam.

“Dalam perkembangan sama, GPM juga khuatir sekiranya ada pihak tertentu yang sengaja menjadikan insiden seperti ini untuk mengambil kesempatan dan memberikan mesej yang salah kepada dunia mengenai Afghanistan,” katanya.

Keadaan masjid yang dibom pengganas.

Ujarnya, masyarakat Afghanistan wajar diberi peluang untuk hidup di dalam keadaan tenang dan aman setelah melalui konflik dan ketidakstabilan berpanjangan hampir empat dekad.

“GPM berpandangan seluruh masyarakat dunia harus memberikan sokongan dalam memastikan keamanan Afghanistan dan menyalurkan bantuan dalam apa jua bentuk di dalam waktu yang sukar ini,” katanya.

Mangsa terkorban dibawa keluar dari masjid.

Rakyat Malaysia yang prihatin boleh menyalurkan sumbangan kemanusiaan untuk Afghanistan melalui pautan dalam talian www.peduliafghanistan.com atau pindahan wang ke akaun Maybank Global Peace Mission – 5642 2161 1602 dengan rujukan PeduliAfghanistan.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *