10/06/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

FINAS & Koperasi Al-Najah buka peluang penggiat industri kreatif cipta aplikasi nama sendiri

2 min read

Buat julung kali penggiat industri kreatif naik ke pentas sain Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menjalankan bisnes dalam talian.

Seramai 30 penggiat industri kreatif terdiri daripada pelakon, pengarah filem dan produser diberi peluang menceburi bidang e-dagang yang dibangunkan Koperasi Al-Najah (KL) Berhad.

Satu acara sain MoU dimeterai di Perkarangan Banglo, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sebahagian penggiat industri kreatif sain MoU di atas pentas di FINAS, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, FINAS menyatakan inisiatif keusahawanan atas talian Al-Najah bersama penggiat industri kreatif merupakan cetusan idea pihak Koperasi Al-Najah (KL) Berhad dengan kerjasama Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS menerusi penyediaan platform e-dagang kepada penggiat industri kreatif bertujuan meningkat pendapatan dan pulangan jualan produk secara lebih meluas.

“Inisiatif ini dimulakan dengan penawaran 30 platform e-dagang oleh pihak Koperasi Al-Najah (KL) Berhad kepada 30 penggiat industri kreatif yang menyatakan komitmen untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan produk dan keusahawanan secara dalam talian sekaligus berupaya mewujudkan komuniti usahawan penggiat seni kreatif yang sentiasa menyokong perniagaan satu sama lain,” katanya.

Penggiat seni mengharapkan situasi menang-menang dicapai menerusi kerjasama dengan Koperasi Al-Najah. (Foto: FINAS)

Hari bersejarah buat penggiat industri kreatif berkenaan disaksikan Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Datuk Seri Eizlan Yusof dan Pengerusi Koperasi Al-Najah (KL) Berhad, Kolonel Bersekutu (PA) Prof Datuk Seri Dr Haji Ahamad Musa So.

Antara penggiat industri kreatif yang hadir ialah pelakon Jasmin Hamid, Dilla Ahmad, Ainina Ahmad B, Anne Abdullah, Hilmi The Gimmick dan pengarah filem, Mohamad Zaini Hassan, Elrafaei Sapi, Azizan Rubaan, Sofia Aliza Mohd Isa dan Saradha Sivalingam.

FINAS bekerjasama dengan Koperasi Al-Najah (KL) Berhad membantu penggiat industri kreatif.

Bagi Elrafaei yang turut mempunyai pengalaman luas sebagai pengamal media, pelakon dan penulis skrip menyifatkan tawaran e-dagang tersebut merupakan peluang keemasan kepada penggiat industri kreatif mempromosikan bisnes masing-masing secara percuma.

“Ramai penggiat industri kreatif terkesan akibat pandemik COVID-19 apabila pendapatan daripada bisnes merosot. Adanya platform dari Koperasi Al-Najah (KL) Berhad ini dapat membantu dari aspek jualan dan menarik lebih ramai prospek pelanggan untuk menjadi pembeli,” katanya.

Elrafaei yang juga Timbalan Ketua Biro Perhubungan Media dan Komunikasi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyatakan penghargaan buat FINAS yang membuka jalan kepada penggiat industri kreatif untuk berniaga secara dalam talian.

“Sudah tentu konsep menang-menang perlu difikirkan antara kedua pihak iaitu penggiat industri kreatif dengan penyedia platform. Apa yang menarik difahamkan, setiap selebriti juga diberi peluang mencipta aplikasi nama sendiri dalam platform ini untuk memudahkan orang ramai berkunjung dan membeli.

“Syabas buat FINAS dan Koperasi Al-Najah (KL) Berhad atas usaha ini demi kelangsungan hidup penggiat industri kreatif,” katanya.

– Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *