FINAS buka kertas siasatan isu jangkitan COVID-19 di set penggambaran
2 min read
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Unit Penguatkuasa Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan FINAS membuka kertas siasatan berhubung kes jangkitan COVID-19 membabitkan produksi di sebuah lokasi penggambaran filem baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan media hari ini, FINAS menyatakan siasatan penuh akan dijalankan sebelum tindakan seterusnya diambil selaras dengan sistem perundangan negara.
“FINAS mengambil maklum akan isu dan perkara yang menjadi tular di dalam portal dan platform media sosial berhubung dengan kes jangkitan COVID-19 yang melibatkan syarikat produksi di sebuah lokasi penggambaran.
“Untuk makluman, Penguatkuasa FINAS telah mengambil langkah proaktif bagi memantau aktiviti penggambaran filem di bawah Surat Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) di lokasi penggambaran bagi memastikan setiap syarikat produksi mematuhi SOP Penggambaran yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
FINAS memaklumkan pihak mereka mengambil inisiatif dengan menyalurkan maklumat dan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tindakan selanjutnya.
“FINAS ingin mengingatkan kepada semua Penyelia Protokol Penggambaran (PPP) yang dilantik oleh syarikat produksi masing-masing untuk memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab dengan sentiasa memastikan artis dan krew mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan dan merekodkan di dalam Buku Log yang disediakan FINAS.
“FINAS sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa yang terlibat sama dalam menangani dan menyelesaikan isu yang berbangkit ini demi memastikan nama baik industri kreatif terpelihara,” katanya.
FINAS juga menyatakan komitmen untuk bertindak lebih agresif dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan SOP serta mengalu-alukan sebarang aduan daripada masyarakat awam untuk melaporkan kepada FINAS sekiranya mendapati berlaku perlanggaran SOP yang melibatkan aktiviti penggambaran.
Sebarang aduan dan pertanyaan lanjut boleh berhubung terus di talian 03-41041300 (Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan) dan emel di info@finas.my.
- Kafebuzz.my

