“Filem dan drama sebagai ejen pendidikan bagi memupuk nilai-nilai etika, integriti dan sikap kebertanggungjawaban setiap ahli masyarakat” – Fahmi Fadzil
3 min read
Ramai daripada kita pasti pernah menerima panggilan scammer.
Bermacam helah digunakan scammer kononnya dari pihak polis, mahkamah, pengutip cukai kerajaan termasuk kenalan yang terdesak mahu meminjam wang.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, penggunaan serta kebergantungan terhadap teknologi dan Internet mendedahkan orang ramai dengan pelbagai risiko ancaman dan serangan siber serta membuka ruang kepada perkembangan jenayah siber yang mengakibatkan ramai menjadi mangsa sekali gus menyumbang kepada peningkatan statistik kes keselamatan siber di Malaysia.
“Berdasarkan laporan insiden keselamatan siber Pusat Bantuan Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia, sebanyak 7,292 insiden telah dilaporkan pada tahun 2022. Dari jumlah tersebut, tiga insiden tertinggi yang dicatatkan adalah Penipuan Dalam Talian (Fraud) iaitu sebanyak 4,741 kes; Kod Hasad (Malicious Codes) sebanyak 1,023 kes; dan pencerobohan (Intrusion) sebanyak 755 kes,” katanya pada Majlis Pelancaran Drama Cyber999 di Angkasapuri, Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, kes berkaitan penipuan dalam talian (fraud) termasuk scam kini semakin berleluasa dan menjadi bertambah serius.
“Antara insiden scam yang kerap dilaporkan ke PDRM sepanjang tahun 2022 ialah penipuan belian dalam talian, Macau scam, Nigeria scam, Love scam, penipuan parcel, penipuan chat berbaur lucah, investment scam, penipuan pinjaman wang tidak wujud, penipuan pekerjaan dan penipuan perkhidmatan pembantu rumah.
“Penjenayah siber menggunakan pelbagai modus operandi untuk memperdaya serta menjerat mangsa sehingga mangsa mengalami kerugian ratusan, ribuan malah jutaan ringgit. Lebih mendukacitakan lagi apabila ada mangsa yang kehilangan kesemua wang tabungan yang disimpan bertahun-tahun lamanya,” katanya.
Tambahnya, penjenayah mengeksploitasi kelemahan manusia yang mudah percaya, senang terpedaya, terburu-buru membuat tindakan dan keputusan, cuai dalam menilai sesuatu perkara, mudah berasa simpati serta tamak menyebabkan mereka menjadi mangsa.
“Perangkaan menunjukkan bahawa kebanyakan mangsa scam terdiri daripada golongan profesional termasuk pensyarah, guru, jurutera, doktor, ahli perniagaan dan tidak ketinggalan pesara dan warga emas. Perbuatan jenayah ini juga memberi impak kepada mangsa-mangsa sehingga mengalami kemurungan, tekanan perasaan dan menjejaskan kehidupan seharian.
“Insiden pencerobohan dan kebocoran data serta maklumat juga kian serius kerana data atau maklumat merupakan komoditi yang sangat bernilai. Maka, menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya organisasi yang menyimpan data dan maklumat untuk sentiasa menambah baik dan meningkatkan tahap keselamatan siber dan perlindungan data bagi mengelak insiden kebocoran data dari terus berlaku,” katanya.

Bagi usaha membanteras, menangani dan mencegah jenayah siber daripada terus berleluasa, KKD bersama-sama agensinya kini giat melaksanakan pelbagai pendekatan bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran pengguna Internet di Malaysia.
“Pada hari ini, kita menyaksikan satu lagi insiatif hasil dari manifestasi kerjasama awam – swasta melibatkan tiga industri berbeza dari aspek kepakaran, pengalaman, keupayaan dan kelebihan masing-masing. Penerbitan drama bertemakan ‘Kisah Benar Cyber999’ ini dilihat amat bertepatan masanya dengan kes-kes jenayah siber berleluasa dan hebat diperkatakan kini.
“Selain menjadi hiburan, filem dan drama kini juga berperanan sebagai ejen pendidikan bagi memupuk nilai-nilai etika, integriti dan sikap kebertanggungjawaban setiap ahli masyarakat dalam mengambil sebarang tindakan mahupun keputusan semasa menggunakan platform siber,” katanya.

Fahmi berkeyakinan melalui penghasilan skrip dan dialog serta penghayatan lakonan, sesebuah drama itu mampu untuk bukan sahaja menghibur, malah secara tidak langsung dapat menyampaikan mesej-mesej penting kepada rakyat.
“Oleh yang demikian, penerbitan Cyber999 merupakan salah satu usaha yang harus dipuji dan diberi sokongan untuk kita bersama-sama memberi pendidikan serta memupuk kesedaran mengenai kepentingan keselamatan siber.
“Menyentuh tentang drama Cyber999, drama terbitan AMK Creative Media Sdn. Bhd. ini direalisasikan menerusi Dana Kandungan Kreatif FINAS dengan garapan 26 episod berlandaskan insiden kisah-kisah benar yang ditempuhi oleh mangsa ancaman dan serangan siber.
“Pemilihan visual, teknik naratif dan olahan penerbitan ini diharap dapat mempengaruhi tahap literasi digital warga Malaysia serta berjaya menyampaikan mesej yang mendalam kepada masyarakat. Usaha ini juga sejajar dengan matlamat membangunkan negara Malaysia MADANI yang menekankan enam nilai iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan, dan ihsan,” katanya.
- Kafebuzz.my

