03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Fiesta TV3 Sentiasa Bersamamu hargai penonton setia

2 min read

Fiesta TV3 Sentiasa Bersamamu berjaya menambat hampir 1,000 pengunjung yang datang bersilih-ganti sejak jam 9 pagi hingga 4 petang, semalam.

Acara ini diadakan khusus buat penonton setia TV3 yang sentiasa bersama sepanjang 38 tahun beroperasi. Hubungan istimewa ini kekal berterusan sehingga TV3 menjadi stesen televisyen Nombor Satu negara. 

Bertempat di pekarangan Sri Pentas, Bandar Utama, pintu dibuka kepada orang ramai bermula jam 9 pagi. Fiesta TV3 Sentiasa Bersamamu menampilkan Fiza Frizzy dan Cef Fikree sebagai hos acara. Pelbagai aktiviti menarik dan hadiah istimewa disediakan buat penonton bertuah yang turut serta dalam acara ini bersama-sama dengan selebriti popular Malaysia. Lebih istimewa, beg cenderahati TV3 juga diberikan kepada 150 peserta terawal.

Syed Hussian Aljunid (empat dari kiri) bersama barisan selebriti yang menjayakan program Fiesta TV3 Sentiasa Bersamamu. (Foto: TV3)

Sesi pelancaran disempurnakan Pengerusi Kumpulan, Media Prima Berhad, Datuk Seri Syed Hussian Aljunid diiringi Nini Yusof yang merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima di pentas utama pada jam 11.30 pagi. 

Para pengunjung berpeluang untuk memenangi hadiah menarik menerusi cabaran menghias kek cawan kategori kanak-kanak, cabaran menghias kek antara selebriti popular dan peminat yang menampilkan Aniq Suhair, Noki dan Hannah Delisha.

Hisyam Hamid menunjukkan bakat menghias kek. (Foto: TV3)

Selain itu, mereka juga dapat menyaksikan demonstrasi dekorasi kek oleh cef selebriti iaitu Dr Ezani Monoto dan Nabila Asyiqin. Tidak ketinggalan, pertandingan menghias kek keluarga selebriti yang disertai keluarga Sharifah Shahira, Iman Suhana dan Ezzaty Abdullah. 

Di samping itu, orang awam yang berkunjung ke Sri Pentas berpeluang untuk beramah mesra dengan artis kesukaan ramai iaitu Anna Jobling (Lestary: Melur Untuk Firdaus), Hisyam Hamid (Samarinda: Kerana Aku Isteri Bidaan), Siti Nordiana, Liza Abdullah, Emma Maembong dan Zoey Rahman. Pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan hebat dari penyanyi popular Malaysia seperti Nabila Razali, Hael Husaini, Naim Daniel, Sarah Suhairi, Suki Low, Naqiu, Syafeek Ikhwan, Zazo Maulana, Haris Fayahet, Wanie Ooi dan Aman Aziz. 

Sarah Suhairi tampil membuat persembahan. (Foto: TV3)

Bersempena dengan filem terbaru Jurassic World Dominion yang kini ditayangkan di pawagam, pameran Jurassic Park World Dominion diadakan di Sri Pentas untuk pengunjung berinteraksi. Pengunjung juga berpeluang menyertai pertandingan foto Jurassic World Dominion. Hanya perlu sertakan tag #TV3SentiasaBersamamu #JurassicWorldDominion #IniEraJurassic ketika bergambar di lokasi tersebut untuk memenangi hadiah eksklusif filem Jurassic World Dominion.

Slot Magnificent 8 di TV3 juga membawa penonton ke pengembaraan Jurassic dengan tayangan siri francais filem Jurassic Park pada setiap Ahad, jam 3 petang iaitu Jurassic Park (1997) pada 12 Jun, The Lost World: Jurassic Park (19 Jun) dan Jurassic World (26 Jun). 

Bagi memeriahkan lagi sambutan ini, pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik sumbangan daripada Samsung The Freestyle projector, WOW Shop dan baucar membeli belah bernilai RM200 di sesi cabutan bertuah Fiesta TV3 Sentiasa Bersamamu. 

Fiesta TV3 Sentiasa Bersamamu berjaya menambat hampir 1,000 pengunjung. (Foto: TV3)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *