Drama Korea lebih bagus daripada drama Malaysia?
2 min read
Pahit untuk ditelan tapi itulah realiti drama Malaysia.
Bukan semua tapi memang wujud kualiti drama tempatan masih di tahap rendah atau boleh dikatakan membosankan.
Akibat daripada itu, penonton lebih selesa memilih drama dari luar negara seperti Korea yang disifatkan lebih menghiburkan.
Pengarah filem, Shamaine Othman yang dikenali sebagai @foxymaine berkongsi pandangannya di aplikasi TikTok mengenai senario drama tempatan yang berdepan pelbagai isu.

Ujarnya, drama tempatan masih dibelenggu dengan isu seperti tiada perubahan sistematik dalam industri, bajet produksi yang masih sama sejak tahun 90-an, ‘censorship’, pelakon kena bawa kostum sendiri, penyiar seperti stesen TV fikir penonton bodoh, tempoh pembangunan skrip yang singkat, ‘influencer’ dapat tawaran kerja sebagai pelakon dan proses praproduksi yang sangat pendek.
Apa yang diperkatakan memang masuk akal jika ditanya sendiri pada penggiat seni. Ia bukan suatu yang aneh berlaku di negara ini apabila skrip disiapkan dalam tempoh singkat yang ada ketika untuk drama episod, skrip masih ditulis ketika penggambaran sudah bermula.
Begitu juga, kadar bayaran stesen TV kepada rumah produksi masih sama termasuk kadar upah yang rendah kepada kru produksi. Faktor ‘censorship’ juga yang ada ketika terlalu sensitif memotong babak yang dianggap penting dalam sesebuah cerita menjadikan karya itu kurang impak pada penonton.

Lebih membosankan bila penonton sendiri melihat penggiat seni yang menjadi pegawai kerajaan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan persatuan hiburan saling berbalah di media sosial.
Semua faktor ini menyumbang pada kualiti drama tempatan hingga kini. Selagi isu sedemikian tidak selesai, drama tempatan juga tidak ke mana hinggakan penonton tempatan lebih gemar menonton drama Korea.
- Kafebuzz.my

