Dikecam rakan artis dan netizen, Zed Zaidi tampil beri penjelasan isu artis diberi vaksin awal
1 min read
Cadangan artis agar diberi vaksin awal nampaknya mengundang isu dan kecoh dalam kalangan netizen.
Segelintir netizen termasuk beberapa rakan artis turut menyatakan pandangan mereka tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan Zed Zaidi.
Susulan daripada kenyataan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) itu yang menjadi kecaman segelintir netizen di media sosial, Zed tampil memberi penjelasan lanjut.
“Ia sebagai tanggungjawab sosial SENIMAN untuk membantu kerajaan menyebarkan maklumat yang lebih terperinci menerusi media sosial seperti artis yang mempunyai ‘fan page’ dan ‘followers’ yang ramai.
“Pandangan saya apabila kerajaan memberi vaksin awal kepada artis bukan bermaksud kepada 7,000 ahli SENIMAN tapi kuota yang diberikan sebagai contoh jika 20 artis menerima vaksin tersebut, merekalah yang akan ‘post’ di media sosial mereka bagaimana prosedur vaksin, bagaimana vaksin berkesan atau tidak, perasaan mereka dan sebagainya,” katanya menerusi video yang dimuat naik menerusi akaun Instagram, @rozaidijamil, malam tadi.
Jelasnya, apa yang ingin difokuskan mengenai isu artis diberi vaksin awal ialah bertujuan berkongsi maklumat mengenai vaksin kepada khalayak agar tidak berasa takut.
“SENIMAN menganggap ia sebagai kempen dan bukan keseluruhan artis diberi vaksin awal. Bila nak berkempen di media sosial, mereka (artis) mesti divaksin dahulu, baru mereka ada pengalaman,” katanya.
Beberapa rakan artis menyatakan pandangan mereka sama ada artis perlu diberi vaksin awal dalam di ruangan komen di status Zed tersebut.


- Kafebuzz.my

