23/05/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Legasi Rabbani, AEYDAN teruskan perjuangan, Purnama tema cinta sejati kepada Rasulullah SAW

2 min read

Lagu ketuhanan memuji Baginda Nabi Muhammad SAW perlu sentiasa dihasilkan bagi hiburan umat Islam sejagat.

Begitu juga, kumpulan nasyid AEYDAN meneruskan perjuangan dakwah apabila tampil dengan single terbaharu berjudul Purnama.

Dilancarkan secara rasmi pada 27 Januari lalu di saluran YouTube rasmi mereka, Aeydan Channel dan semua platform digital, lagu ini menampilkan sentuhan magis daripada komposer dan penyanyi terkenal iaitu Hafiz Hamidun manakala lirik oleh Ito Lara.

Single terbaharu AEYDAN berjudul Purnama merupakan sebuah karya agung yang mengangkat tema cinta sejati terhadap Baginda Rasulullah SAW.

AEYDAN dalam satu kenyataan media menyatakan, lagu kali ini berbeza dengan lagu sebelumnya kerana ia menyampaikan mesej yang lebih terus dan jelas, menonjolkan keindahan akhlak Nabi Muhammad SAW sebagai inspirasi sejati umat Islam.

“Lirik yang menyentuh jiwa dipadukan dengan melodi penuh syahdu, menjadikan lagu ini karya yang mampu meresap ke dalam hati setiap pendengar,” katanya.

AEYDAN merupakan kumpulan nasyid yang terdiri daripada lima anak muda berbakat besar iaitu Ilham, Izwan, Farhan, Haikal dan Fardeen. Kesemua ahli kumpulan ini berasal daripada legasi besar dunia nasyid, sebagai anak-anak kepada anggota kumpulan nasyid terkenal Rabbani.

Vokalis utama AEYDAN sendiri adalah anak keempat Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim, figura ikonik yang menjadi pelopor seni nasyid tanah air.

Kumpulan ini membawa nafas baharu kepada genre nasyid dengan pendekatan muzik moden, harmoni, dan sarat dengan mesej kerohanian. AEYDAN tidak hanya menonjolkan bakat vokal, tetapi juga kesungguhan yang membawa mesej dakwah melalui seni muzik kepada generasi muda.

AEYDAN mengharapkan sokongan ramai dan harapan terhadap kemunculan single terbaru ini menjadi asbab kepada mereka, semua pendengar, dan peminat untuk terus mencintai serta merindui junjungan besar Nabi Muhammad SAW, seterusnya memperoleh syafaat daripada Baginda.

Pelancaran lagu ini juga merupakan satu lagi bukti komitmen Rabbani Empire Resources untuk terus memacu industri nasyid ke tahap yang lebih tinggi.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *