[Nota Editor] Coldplay sokong pejuangan Palestin, Chris Martin ‘belanja’ nasi kandar
3 min read
Palestin, nasi kandar, suis pemati, hujan, ruang solat dan tiket antara topik popular mengenai konsert Coldplay malam ini.
Sekitar jam 4 petang hujan mula turun dengan lebat di sekitar Lembah Klang. Apakah ia memberi petanda konsert akan mula lewat atau jika hujan berterusan adakah Coldplay membuat gimik bermain hujan dalam kesejukan.
Menerusi perkongsian laman media sosial, Coldplay Malaysia beberapa jam lalu memuat naik gambar vokalis band tersohor dari London itu berjalan di sebuah restoran nasi kandar popular yang terletak di bawah pusat membeli belah Sogo, Kuala Lumpur.
Kapsyen menulis Chris Martin sudi belanja makan nasi kandar bersama peminatnya di sini. Siapa peminat bertuah yang dibelanja oleh Chris?

Konsert Coldplay Music of the Spheres World Tour tetap diteruskan dan dibenarkan untuk membuat persembahan di Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur.
Memetik laporan media tempatan hari ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyatakan suis pemati akan digunakan untuk konsert Coldplay malam ini. Ia bermaksud penganjur bersetuju bahawa suis itu akan digunakan untuk mematikan jana kuasa elektrik jika Coldplay melanggar garis panduan yang ditetapkan kerajaan. Sudah tentu ‘penjaga’ suis pemati itu mesti fokus dan ‘gabra’ untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Ketika ramai umat Islam malah sebilangan besar penduduk dunia berduka dengan nasib masyarakat Palestin yang dibunuh kejam, wujud pandangan pihak tertentu yang mengharapkan konsert ini dibatalkan.
Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sudah menjelaskan di Dewan Rakyat sebelum ini mengatakan Coldplay merupakan antara kumpulan muzik yang menyokong Palestin.
“Ada pelobi-pelobi daripada gerakan Palestin yang menyokong dan memberikan pandangan kepada Menteri Luar dan pejabat saya menyatakan mengapa di halang kumpulan yang menyokong perjuangan Palestin daripada meneruskan pertunjukan,” katannya.
Bagi peminat tegar, kehadiran band yang popular dengan lagu antaranya The Scientist, Fix You, Yellow dan Paradise, pastinya tidak akan melepaskan peluang keemasan yang mungkin dianggap seumur hidup untuk menonton ahli band ini di atas pentas secara langsung.
Tidak kira apa jua persepsi atau isu negatif yang dilontarkan terhadap band warna pelangi ini, peminat tetap mahu menikmati sebuah persembahan muzik yang hebat yang mencetuskan fenomena di seluruh dunia dan momen berada di lokasi konsert merupakan pengalaman yang sangat mengujakan mereka.
Seperkara penting dikongsi laman media sosial Stadium.Malaysia ialah sikap proaktif Perbadanan Stadium Malaysia yang menyediakan ruang solat tambahan untuk peminat beragama Islam menunaikan solat. Jadi tiada alasan, nak berhibur punya pasal sampaikan tak sempat solat.

Bagi penggiat industri muzik tanah air, konsert antarabangsa seperti ini adalah suatu yang diraikan dan secara tidak langsung mengangkat nama Malaysia ke peringkat antarabangsa. Tapi apa yang lebih bermakna ialah tauke restoran Saddam tersenyum lebar sebab jenamanya jadi bualan hangat malah mula tersebar di seluruh dunia.
Mungkin khalayak beranggapan malam ini Chris akan bercakap mengenai sokongan mereka kepada Palestin dan bukan lagi jenaka pinjam seratus.
Artikel ini ditulis oleh Elrafaei Sapi merupakan perunding media dari Kafebuzz Media, penganalisis hiburan, pengamal media profesional yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama 20 tahun, pernah memenangi pelbagai anugerah kewartawanan dan juga Pengasas serta Editor Pengurusan portal berita Kafebuzz.
- Kafebuzz.my



