[Nota Editor] Solidariti selebriti terhadap Palestin, teguran keras pada TikTok dan META
4 min read
Berita kekejaman tentera Zionis terhadap penduduk Palestin terus menjadi tumpuan ramai.
Cerita mereka bukan hanya dibaca rakyat Malaysia tetapi seluruh dunia bersimpati dan bersolidariti menegakkan keamanan dan mendoakan penduduk Palestin terus selamat.
Ke mana lagi mereka boleh pergi. Diusir dari rumah sendiri, malah apa yang lebih menyedihkan sekolah, hospital termasuk kem pelarian juga menjadi sasaran syaitan bertopengkan manusia.
Banyak persoalan sering berlegar di fikiran merujuk isu Palestin. Kenapa negara-negara Arab dari Timur Tengah tidak membantu tentera Hamas. Ramai menderma sebaliknya bila sumbangan ini boleh dimanfaatkan penduduk Palestin untuk terus hidup.

Nasib setiap rakyat Palestin umpama telur dihujung tanduk. Bila-bila masa mereka boleh mati syahid untuk umat Islam. Bagi golongan selebriti, ramai yang lantang bersuara di media sosial masing-masing berkongsi berita, gambar dan video menyayat hati rakyat Palestin yang terbunuh dan cedera.
Tanpa mempedulikan lagi akibat akaun disekat tauke media sosial berkenaan sehingga sanggup kehilangan berjuta pengikut, apa yang dilakukan selebriti tempatan dan antarabangsa menunjukkan pada dunia mengenai solidariti buat rakyat Palestin yang dibunuh dengan kejam tanpa belas kasihan.
Di sebalik tindakan solidariti selebriti bersatu demi Palestin, apa yang mencuri tumpuan khalayak ialah beberapa premis francais dan makanan segera yang didakwa mempunyai kaitan dalam urus niaga membabitkan negara ‘syaitan’ tersebut turut menerima impak.
Premis menjual kopi terkenal lenggang. Menurut laporan media antarabangsa, syarikat kopi itu bertindak menyaman kesatuan pekerja mereka akibat posting yang menunjukkan solidariti terhadap Palestin di platform satu media sosial iaitu mengutuk tindakan membunuh orang awam yang tidak bersalah.

Begitu juga, satu jenama restoran makanan segera popular hanya mempunyai beberapa pelanggan yang boleh dikira dengan jari. Ada pelanggan yang datang makan di situ terpaksa meliar mata lihat sekeliling mungkin bimbang keselamatan diri atau kecaman netizen.
Meskipun sudah banyak kali sebenarnya premis perniagaan berkenaan menyangkal dakwaan berkenaan ketika isu Palestin jadi tumpuan dunia, apa yang menjadi persoalan nasib pekerja muslim yang bekerja di situ. Mereka hanya mencari rezeki halal tanpa bermaksud menyatakan pendirian menyokong tentera ‘syaitan’ tersebut.
Seorang pelakon popular secara sinis memuat naik satu posting bertanyakan senarai produk diboikot agar dia tidak salah membeli ketika keluar membeli belah. Dalam video yang dimuat naik bersama posting tersebut, tertera logo beberapa restoran makanan segera, pasaraya, jenama sukan dan jenama komputer terkenal yang didakwa mempunyai kaitan dengan tentera zalim tersebut.
Ada netizen memberi komen menafikan pemilikan produk popular di negara ini dimiliki oleh syarikat tempatan yang tidak menyumbang pada Zionis. Ada juga netizen mempersoal jika sikap memboikot produk-produk berkenaan hanya bermusim ketika Zionis dan Hamas masih berperang.

Sejauh mana tindakan memboikot oleh rakyat Malaysia memberi mesej jelas pada dunia, kita menyokong Palestin dan mahukan peperangan ini dihentikan segera.
Tindakan proaktif dilakukan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi teguran keras kepada TikTok dan META jika menyekat kandungan berunsur pro Palestin suatu yang disokong masyarakat negara ini.
“Kalau isu ini diabaikan, saya tidak teragak-agak untuk ambil pendekatan dan pendirian yang amat tegas,” katanya dalam posting di Instagramnya, fahmifadzil.1.

Syabas buat seluruh pihak media Malaysia sama ada stesen TV, portal berita, radio dan akhbar yang memainkan peranan masing-masing dalam menyampaikan berita terkini dan perkembangan masyarakat Palestin.
Dalam kalangan stesen TV, pujian seharusnya diberikan pada stesen TV Alhijrah kerana menyiarkan liputan berita secara komprehensif situasi di Gaza, Palestin menerusi Berita Alhijrah pada setiap hari, jam 8 malam.
Media Malaysia adalah terbaik dalam bersolidariti untuk Palestin dan rakyat negara ini juga melakukan perkara sama apabila turun dalam perhimpunan secara aman sambil memakai baju T, mafela dan tudung bagi wanita tertera bendera Palestin.

Apa lagi Malaysia perlu lakukan demi selain menyatakan solidariti terhadap penduduk Palestin?
Bagi umat Islam di seluruh dunia, doa tidak putus dan solat hajat untuk Palestin menjadi senjata paling hebat untuk kita semua mengharapkan pertolongan daripada Allah S.W.T untuk menghancurkan tentera ‘syaitan’ ini lenyap terus dari muka bumi.
Tiada yang mustahil.
Keadilan dan kemenangan akan menjadi milik Palestin suatu hari nanti.
Artikel ini ditulis oleh Elrafaei Sapi merupakan perunding media dari Kafebuzz Media, penganalisis hiburan, pengamal media profesional yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama 20 tahun, pernah memenangi pelbagai anugerah kewartawanan dan juga Pengasas serta Editor Pengurusan portal berita Kafebuzz.
- Kafebuzz.my

