“Media jadi teras sangat penting, tiang seri kepada demokrasi kita” – Fahmi Fadzil
3 min read
Kerajaan Perpaduan memberi jaminan hak pengamal media dan kebebasan bersuara dipelihara.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan Perpaduan pada hari ini memang berhasrat untuk mengangkat dan memperkasakan hak media serta kebebasan bersuara.
“Suatu memegang jawatan sebagai pengarah komunikasi Parti Keadilan Rakyat pada tahun 2013 telah mengangkat larangan terhadap beberapa media daripada membuat liputan program, aktiviti dan sidang media parti. Kalau ada rakan-rakan yang masih ingat yang berkhidmat pada masa itu. Sekarang sebagai menteri secara langsung menjaga aspek media, hasrat saya adalah memastikan hak rakan-rakan media itu terjamin dan terbela. Pada masa yang sama, penyampaian maklumat yang tepat itu sangat penting,” katanya pada Majlis Apresiasi Pengamal Media Bersama YB Fahmi Fadzil di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau harap semua media tempatan dapat bekerjasama dengan baik.
“Dalam suasana Ramadan dan Syawal yang akan tiba ini, kita dapat cari satu titik temu, kita dapat mengusahakan suatu persefahaman untuk kita bekerjasama, untuk kita saling meraikan. Pada masa sama, media menjadi teras sangat penting, tiang seri kepada demokrasi kita untuk memastikan ‘check and balance’ tetapi kita jangan lupa, kita ada tugas dan tanggungjawab masing-masing.
“KKD akan berusaha memastikan bahawa maklumat yang disampaikan kepada rakan media itu tepat dan sekiranya ada maklumat yang perlu pengesahan, rakan media boleh berhubung dengan saya atau timbalan menteri atau Setiausaha Akhbar (SUA),” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga menyokong penganjuran Hari Wartawan Nasional atau HAWANA sebagai acara meraikan pengamal media di negara ini.
“Pada Mei nanti, kita bersama-sama dengan Bernama menganjurkan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang dijangka diadakan pada 28 Mei nanti di Ipoh, Perak. Sambutan Hari Wartawan Nasional ini merupakan satu hari yang kita sambut setiap tahun dan ia memberi penugasan kepada fungsi dan peranan rakan media. Kita tahu pada saat ini, media juga berdepan dengan tekanan, saya faham.
“Baru-baru ini saya bertemu dengan semua ketua editor dan saya meminta bantuan daripada Datuk Zaini dan rakan dari Media Prima untuk menjemput semua rakan media membincangkan perkara sangat penting mengenai masa depan dan hala tuju media itu sendiri.
“Harapan saya sekiranya rakan media boleh capai satu kata putus, dapat satu idea apa yang boleh dilakukan dan ada satu keserasian dan kerjasama di pihak industri rakan-rakan media. Saya percaya menjelang Hari Wartawan Nasional, kita dapat memperagakan dan mengumumkan beberapa dasar penting yang akan diangkat, dikelolakan dan diperjuangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi menyatakan kerajaan berusaha memahami pemasalahan dan isu yang dihadapi pengamal media agar dibantu.
“Kita tahu tekanan yang dihadapi bukan hanya wang ringgit tetapi dari segi bakat, saya tau ramai kawan yang bekerja dengan syarikat media, ramai media berhijrah tukar syarikat tapi saya melihat ada satu trend di mana ada rakan media keadaan ekonomi semasa mereka berhijrah ke industri lain atau bekerja di syarikat bukan di Malaysia.
“Bagi saya dan kerajaan, penting memahami dari segi sistem dan isu berkaitan. Kementerian dan kerajaan berhasrat mencari jalan untuk kita meringankan sedikit beban dan membantu keadaan bagi rakan-rakan wartawan,” katanya.
- Kafebuzz.my

