PROFIMA mohon cuti demi Hari Kru Filem Malaysia
2 min read
Seringkali hanya nama mereka saja dipaparkan pada end credit sesebuah karya yang dipertontonkan kepada khalayak di layar perak mahupun televisyen.
Mereka bukan artis popular tapi pekerja belakang tabir yang mempunyai semangat kerja tinggi, tidak putus asa, sanggup bekerja lebih masa siang dan malam demi mencari rezeki.
Pengorbanan yang ditunjukkan kru produksi cukup besar terhadap perkembangan industri perfileman dan kreatif negara. Tanpa mereka sukar penggambaran dapat dilakukan dengan lancar.
Justeru, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) mengambil inisiatif meraikan kru produksi dalam sebuah acara peringkat Kebangsaan dikenali Hari Kru Filem Malaysia. Acara julung kali ini dianjurkan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA).

Presidennya, Khalil Salih berkata, Hari Kru Filem Malaysia bermatlamat mengukuhkan ukhwah dalam kalangan semua kru filem dan menyampaikan mesej kepada khalayak mengenai kru filem adalah penyumbang besar kepada pembangunan filem dan kandungan kreatif negara serta golongan ini juga perlu dihargai peranan dan tugas dalam hari sambutan lebih khusus.
“Di dalam sambutan ini juga semua kru filem yang hadir akan dimanfaatkan masa mereka dengan mendengar taklimat, informasi terkini, pelancaran Koperasi Profima Berhad, jamuan makan, persembahan ringan dan taklimat hasil rumusan dari program G20 – Pelan Pembangunan Kru Filem Malaysia 2030.
“PROFIMA menyeru dan meminta semua kumpulan produksi memohon cuti awal dan boleh merancang bagi menggantikan segala kerja-kerja penggambaran yang berlangsung pada tarikh sambutan ini nanti iaitu pada 1 Februari 2023 bertempat di Dataran Karyawan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Hulu Kelang,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambahnya, PROFIMA menjangkakan lebih 1,000 kru filem akan hadir dalam program ini dan 10 Agensi serta organisasi akan terlibat dalam pameran reruai yang menjurus kepada kerjaya kru filem Malaysia.
“Inilah masanya pihak penerbit dan pengarah filem serta rancangan televisyen memberikan penghargaan tertinggi kepada seluruh pekerja belakang tabir untuk bercuti dan menghadiri sambutan ini.
“Sokongan daripada seluruh kru filem perlu dizahirkan dalam perjumpaan mega ini kerana kru filem mampu merubah industri perfileman Malaysia ke arah lebih baik,” katanya.
Ujarnya, PROFIMA juga memohon sokongan penuh daripada pihak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) agar dapat memberikan perhatian khas kepada komuniti majoriti yang bekerja dalam produksi filem bagi membina sebuah hubungan lebih baik di dalam merealisasikan perancangan yang telah dibuat oleh Profima untuk pembangunan industri perfileman Malaysia.
“Kepada semua penerbit, pengurusan produksi dan pengarah rancangan TV, filem dan kandungan kreatif yang lain, mohon kerjasama anda untuk memberikan pelepasan ini kerana selama 30 tahun kami kru filem belum pernah mengadakan perjumpaan sebesar ini dan sambutan yang sangat bermakna buat kami,” katanya.
- Kafebuzz.my


