Nasi Briyani, Pizza, Kek Red Velvet, Chicken Foldover antara juadah dibazirkan ketika Ramadan!
2 min read
Puasa itu apa sebenarnya?
Ramadan bukan saja menguji iman Muslim dan Muslimah melawan godaan nafsu tetapi ia sebenarnya banyak mengajar kita tentang kehidupan.
Puasa mengajar kita faham bagaimana hidup susah tanpa makanan dan minuman dalam tempoh yang panjang. Di sebalik kewajipan umat Islam melaksanakan rukun Islam ketiga itu, umat Islam dituntut agar mengamalkan kehidupan sederhana, banyak bersyukur dan paling penting tidak membazir terutama ketika Ramadan.
Acapkali kita mendengar dan melihat sendiri bagaimana juadah berbuka mahupun bersahur dibazirkan begitu saja. Menerusi satu perkongsian Rudy Irwan Shukaime di media sosialnya, pembaziran berlaku kepada penerima yang mendapat bantuan makanan daripada kumpulan berbeza yang mengagihkan makanan bagi tujuan bersedekah.
“Sepanjang pemerhatian kami dalam masa 3 jam sahaja (11pm-2am), ada 15 kumpulan hantar makanan kepada kumpulan penerima yang sama di lokasi yg sama. Dari kiraan kasar, jumlah penerima adalah sekitar 20 orang dewasa dan 30 orang kanak kanak,” katanya menerusi satu entri, hari ini.

Jelasnya, jika satu kumpulan mengagihkan 50 bungkus makanan, dianggarkan sebanyak 750 bungkusan makanan diterima satu kumpulan penerima. Ini bermakna jika diconggak jumlah 50 penerima dalam satu kumpulan tadi, setiap seorang penerima mendapat 15 bungkus hanya untuk juadah bersahur!
Bagi manusia normal untuk menghabiskan 15 bungkus makanan pada satu masa agak mustahil. Bayangkan makanan tersebut yang berlebih hanya ditinggalkan di tepi jalan. Mengapa makanan ini semua dibazirkan begitu saja?
Apakah kumpulan yang bersedekah makanan berkenaan tidak tahu kumpulan sasaran penerima mereka sebenarnya sudah terlalu banyak dan berlebihan hingga mengundang pembaziran.
Dalam membendung situasi ini agar tidak terus berlaku pada hari puasa lain, peringatan kepada kumpulan yang bersedekah tadi perlu lebih peka dan tidak mengambil mudah dalam aspek ini.
Seperkara menarik yang turut dikongsi Rudy yang juga Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) adalah menu juadah yang diberikan bukan nasi putih dengan ikan goreng.
“Menu malam tadi tak kurang hebatnya – Nasi Goreng, Nasi Goreng Telur Mata, Nasi Goreng Telur Hancur, Mee Hoon Goreng, Nasi Paprik, Nasi Briyani, Pizza, Kek Red Velvet, Chicken Foldover, Tepung Pelita dan beberapa juadah lain,” katanya.
- Kafebuzz.my

