02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Bantuan bank makanan KOPETRO diteruskan

2 min read

Bantuan kepada masyarakat seharusnya diteruskan.

Meskipun keadaan ekonomi negara kembali rancak apabila lebih banyak sektor perniagaan dibuka semula tetapi kehidupan masyarakat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 masih ramai.

Atas fakor tersebut, Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) mewujudkan program bank makanan atas rasa tanggungjawab membantu masyarakat yang dihimpit masalah kewangan akibat pandemik COVID-19.

KOPETRO melihat keadaan menjadi lebih mudarat susulan perintah berkurung yang diarahkan kerajaan sejak Jun lalu menyebabkan ramai yang tidak mampu menampung kos kehidupan kerana tidak boleh bekerja.

Bagi fasa pertama Program Bank Makanan KOPETRO, ia dijalankan di 7 lokasi stesen minyak PETRONAS iaitu di AU2 Taman Keramat, Brickfields, Alam Sutera (Puchong), Buloh Kasap dan Mukim Sermin di Segamat, serta di Tanjung Rambutan dan Taman Anda di Ipoh, Perak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah, inisiatif ini bukanlah yang pertama bagi KOPETRO menghulurkan bantuan kepada orang ramai.

“Sebelum ini KOPETRO pernah menyertai sebuah program kemasyarakatan di bawah kelolaan sebuah stesen televisyen dalam menyampaikan bantuan makanan kepada petugas-petugas barisan hadapan seperti polis, tentera laut termasuk petugas-petugas kesihatan di pusat kuarantin.

“Pada bulan puasa yang lalu juga, melalui kerjasama dengan Persatuan Seniman Malaysia, KOPETRO menyampaikan sumbangan wang tunai dan juga bekalan makanan kepada 50 artis veteran tempatan yang putus punca pendapatan akibat pandemik ini.

“Kesan pandemik COVID-19 sememangnya amat luar biasa terhadap kehidupan manusia. Adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk kita sama-sama membantu dan menyokong golongan yang memerlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya, biarpun mempunyai sejumlah peruntukan untuk menampung kos bekalan makanan bagi
program ini, Ahmad Shakir mengalu-alukan sokongan orang ramai yang berkemampuan untuk bersama-sama disalurkan kepada lebih banyak penerima dan mereka yang memerlukannya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *