11/06/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

FINAS ingatkan syarikat produksi patuh SOP melalui pelaksanaan Protokol Gelembung Penggambaran

1 min read

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menzahirkan ucapan penghargaan kepada pihak kerajaan di atas kelulusan pembukaan semula aktiviti penggambaran filem pada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif, FINAS, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, FINAS juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang telah mendukung pelbagai strategi dan insiatif termasuk polisi baharu aktiviti penggambaran secara lebih sistematik, terkawal dan diperketatkan dalam tempoh fasa PPN ini.

“Sehubungan dengan itu, FINAS ingin mengingatkan semua syarikat produksi drama, iklan dan dokumentari yang layak untuk mematuhi semua garis panduan dan SOP yang ditetapkan melalui pelaksanaan Protokol Gelembung Penggambaran (PREP) bagi penggambaran luar yang terasing, terhad dan terkawal di negeri-negeri status Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara.

“Ini adalah usaha bersepadu kerajaan melalui KKMM dan FINAS dalam memperkasakan aspek pengurusan, keselamatan, kesihatan, dan pencegahan dalam sesebuah aktiviti penggambaran untuk kawalan risiko jangkitan wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelasnya, bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan garis panduan, borang permohonan Surat Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas), tatacara permohonan dan soalan-soalan lazim berkaitan aktiviti penggambaran filem dengan syarat yang diperketatkan pada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara ini, syarikat produksi yang layak boleh melayari saluran maklumat bermula 21 Julai 2021 menerusi laman sesawang di www.finas.my atau hubungi talian 03-41041300/1458/1360 (Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan) dan emel di sppkhas@finas.my.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *