02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

3,000 delegasi dari 35 negara bakal sertai Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2021 secara maya

2 min read

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak hujung 2019 memberi kesan dan membantutkan usaha pelbagai industri dalam persaingan mencapai matlamat pasaran halal global menjelang 2030.

Justeru, Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2021 (WHBC 2021) yang bernaung di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjadi satu perkara penting dalam kalendar halal global.

Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation Berhad (HDC), Hairol Ariffein berkata, halal industri di Malaysia berkembang menjadi salah satu daripada peneraju utama pertumbuhan ekonomi negara di mana sektor makanan dan minuman halal merangkumi sektor ramuan halal menyumbang lebih daripada 85 peratus daripada jumlah eksport halal Malaysia.

“Sementara itu, sektor kosmetik dan penjagaan diri yang halal, bahan kimia bagi industri-industri dan sektor farmaseutikal halal menyumbang 13.1 pratus kepada jumlah eksport halal keseluruhan Malaysia pada suku pertama 2021.

“Industri halal pada hari ini menyumbang 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP), peranan dan sumbangan industri ini dalam melindungi kehidupan dan kesihatan setiap rakyat menjadi perkara yang sangat penting hari ini,” katanya pada majlis Pra-Perlancaran WHBC 2021 baru-baru ini.

Menurutnya, berdasarkan kaji selidik khas yang diadakan berkenaan ‘Kesan COVID-19 Terhadap Ekonomi dan Syarikat/Firma Perniagaan – Pusingan 1’, keputusan menunjukkan sejumlah 67.8 peratus perniagaan rakyat Malaysia tidak membuat jualan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 10 April hingga 1 Mei 2020. Bagi perniagaan yang bertahan pula, kira-kira separuh (53.4 peratus) sahaja daripada jumlah perniagaan keseluruhan iaitu sebanyak 4,094, mampu bertahan sebulan ke dua bulan sepanjang PKP.

Kira-kira 3,000 delegasi dari 35 negara dengan wakil daripada pelbagai sektor temasuk agensi kerajaan, pakar industri, pembuat polisi, ahli akademik dan juga orang awam akan menyertai acara tahunan edisi ke-13 yang diadakan sepenuhnya secara maya pada 9 September ini.

Antara delegasi yang akan mengambil bahagian adalah wakil dari Australia, Kanada, Senegal, Afrika Selatan, Taiwan dan United Kingdom. WHBC 2021 bakal dihadiri sebilangan besar penceramah dan panelis terkenal, penaung bagi semua industri di bawah satu acara.

Antara penceramah yang akan hadir antaranya ialah H.E. Ebrahim Patel, Menteri Perdagangan, Industri & Persaingan, Afrika Selatan; Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, Timbalan Gabenor, Bank Negara; Datuk Ismail Ibrahim, Lembaga Pemegang Amanah, Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF); Dr Mah Hussain-Gambles, Saintis Utama, Origin Pharma Packaging, UK, dan Navid Akhtar, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Alchemiya.com, juga dari UK dan beberapa nama lagi.

Sementara itu, ketika acara pra pelancaran, beberapa institusi kewangan dan perbadanan termasuk Bank UOB, Bank Saadiq Standard Chartered, Bank Islam, Capital Markets Malaysia, F&N, Duopharma, MIDA, CIMB dan Takaful Malysia mengesahkan penglibatan mereka sebagai rakan strategik dalam memastikan kejayaan persidangan ini.

WHBC 2021 akan menangani perubahan dalam sektor halal yang membawa transformasi dalam industri berikutan pandemik yang melanda, selain menerokai pelbagai peluang dan cabaran ke arah pengurusan dan penggunaan yang lebih baik. Menjelang 2030, saiz pasaran industri halal di Malaysia dijangka meningkat sebanyak AS$113.2 bilion.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *