14/05/2024

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Sejarah Padu Citra, FDAM perjuang profesionalisme pengarah filem Malaysia

2 min read

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang meraikan ulang tahun ke-31 pada 7 Julai lalu terus memperjuangkan objektif utama iaitu meningkatkan tahap profesionalisme pengarah filem Malaysia.

Perintis FDAM yang juga ahli pertama, Prof Dr Mahadi J Murat berkata sejarah penubuhan FDAM bermula apabila pada masa itu wujud isu membabitkan ramai pengarah luar negara diambil bekerja di stesen TV tempatan terutama dari Singapura.

“Sebenarnya, isu pengarah dari luar menjadi semakin besar kerana terlalu ramai pengarah dari Hong Kong datang membuat drama untuk RTM hingga beratus episod tetapi menggunakan nama orang Malaysia dan yang mendapat duit adalah pengarah dan tenaga produksi dari Hong Kong.

“Itu punca semangat membawa suara anak tempatan tentang peluang pekerjaan. Selepas daftar kita buat Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), datang pengarah lain seperti U-Wei Saari, Anwardi Jamil dan beberapa pengarah lain memantapkan jawatankuasa tersebut dengan agenda pertama menonjolkan serta membawa suara pengarah filem Malaysia,” katanya pada program FDAM Live yang membawa tajuk ‘Sejarah Perjuangan 30 Tahun FDAM’ disiarkan menerusi Facebook, FDAM baru-baru ini.

Menurutnya, perlembagaan persatuan memberi penekanan pada objektif meningkatkan profesionalisme pengarah filem Malaysia supaya bukan saja menuntut hak anak seni tempatan mengisi ruang pekerjaan yang ada tetapi pada masa sama membuktikan tahap keupayaan pengarah tempatan juga tidak ketinggalan daripada pengarah lain.

“Selepas itu kita mendesak Radio Televisyen Malaysia (RTM) hingga Menteri pada masa itu amat marah pada kami lalu saya menghantar memorandum mendesak agar perkara itu dihentikan.

“Langkah kedua ialah pergi ke pejabat Imigresen dan akhirnya Imigresen memberi syarat setiap pengarah luar yang ingin bekerja di Malaysia mesti mendapat sokongan daripada FDAM. Jika tidak dulu mereka terus menghantar ke Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang meluluskan kemasukan mereka ke sini,” katanya.

Dr Mahadi (kiri) ketika ditemubual Ketua Sekretariat FDAM, Haji Zaini Hassan selaku moderator program FDAM Live baru-baru ini.

Jelasnya, apabila Imigresen bersetuju FDAM memberi sokongan terlebih dulu pada permohonan pengarah luar, FINAS kemudian mengeluarkan permit kerja.

“Pada ketika itu banyak ‘job’ dokumentari dan program TV menggunakan pengarah luar termasuk golongan pelakon. Langkah seterusnya ialah FDAM mahu memastikan industri filem membabitkan anak seni Malaysia.

“Justeru, kami mencadangkan agar dilaksanakan surat izin produksi dan FDAM mendesak kerajaan agar ia diluluskan. Pada peringkat awal, ia tidak diluluskan kemudian kami menghantar memorandum supaya perkara ini diutamakan dan dengan kuasa Menteri wujud satu klausa pada lessen iaitu setiap produksi yang mahu keluar filem mesti datang daripada warganegara Malaysia,” katanya.

Dr Mahadi menambah perjuangan FDAM ini berjaya dilakukan apabila mendesak pengarah yang terlibat dalam penerbitan filem dan program TV sebagainya mesti dari FDAM.

“Ini membuktikan kita mempunyai keupayaan untuk menyampaikan dari aspek profesionalisme bahawa kami semua boleh menggalas tugas pengarah, lalu apabila ditambah klausa nama ditukar menjadi Padu Citra.

“Padu Citra sebenarnya ada 2 tujuan iaitu pertama memastikan mereka yang bekerja disokong oleh pengamal industri dan mempunyai keupayaan sebagai pengarah, kedua memastikan filem yang diterbitkan mesti filem yang diperakui dan ditangani anak seni tempatan,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *