02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Warangan terjemah fakta sahih keris daripada rujukan akademik

4 min read

Keris sering diterjemah sebagai senjata pahlawan Melayu.

Bagaimanapun tidak ramai yang tahu khusus generasi muda mengenai seni pembuatan keris. Menyingkap sejarah keris, ia diceritakan menerusi sebuah telefilem berjudul Warangan.

Pengarahnya, Azizan Ruba’an berkata, telefilem ini adalah adaptasi dari dokumentari yang pernah diarahkannya sebelum ini mengenai keris.

“Asalnya tukang keris Bugis, tapi payah nak dapat pelakon yang boleh cakap Bugis. Jadi, ia ditukar tukang keris Jawa. Saya pun boleh cakap Jawa jadi senang nak bagi dialog dalam bahasa Jawa,” katanya kepada Kafebuzz.

Azizan (dua dari kiri) bersama pelakon telefilem, Warangan.

Berkongsi pengalaman dalam projek ini, Azizan menyatakan dia mendapat kerjasama yang baik dalam kalangan kru yang berpengalaman dan barisan pelakon yang dapat mendalami karakter dengan jelas.

“Watak orang Jawa yang dibawa DJ Epool (bekas penyampai radio KLFM) dan watak Mbah Sarman lakonan Wak Ruzaidi (bekas pesilat negara) sangat membantu dan bersahaja. Heroin iaitu Husna Mustafa sebagai Amanda boleh jadi pelakon harapan yang digelar ratu air mata.

“Jika diikutkan telefilem ini juga adalah idea bersama saya dengan isteri, Hazlina Harumaini. Dia jarang tengok cerita Melayu. Jadi, saya ambil idea dia juga untuk mendapatkan penceritaan macam ini selain banyak rujukan drama Korea kerana cerita mereka walaupun moden macam mana sekalipun tetap selitkan pasal budaya mereka,” katanya.

Antara babak menarik dalam telefilem Warangan.

Akuinya, dia berdepan cabaran dari aspek masa apabila penggambaran dijalankan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Masa yang diperuntukan bermula jam 8 pagi hingga 10 malam sahaja. Di samping itu keadaan cuaca panas melampau dan juga hujan turun berlaku pada hari kelima dan keenam. Dua hari tersebut membabitkan lokasi di luar.

“Cabaran lain ialah bagaimana selaku pengarah dan juga idea asal cerita Warangan ini untuk memberikan input kepada penonton mengenai perihal keris yang seringkali dipandang serong oleh segelintir masyarakat.

“Pengarah menerapkan info dan juga fakta-fakta sahih mengenai keris melalui rujukan dari pihak akademik yang mengkaji kehebatan dan teknologi pembuatan keris. Rujukan dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) ini dapat lagi memantapkan dan memberikan kelainan telefilem Warangan ini,” katanya.

Azizan tampil dengan telefilem arahan pertamanya.

Azizan yang juga ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) brkata, dia menghasilkan cerita ini agar lari dari kebiasaan cerita Melayu yang hanya mengenai kisah cinta, bisnes mencecah bilion ringgit sehingga kurang mendidik penonton.

“Sebagai pengarah kena bertanggungjawab menyajikan naskhah kepada penonton. Begitu juga, saya bersyukur kerana banyak input dari sudut fakta dalam telefilem ini dibantu isteri saya sendiri yang juga seorang pensyarah,” katanya.

Telefilem ini dijayakan Azrel Ismail sebagai Hadeff, Husna Mustafa (Amanda), Hilal Azman (Khalid), Ruzaidi Abdul Rahman (Embah Sarman), Meor Mohd (Mikael), Syafnida Shuhaimi (Dania) dan DJ Epool (Kamari).

Azizan bersama kru produksi dan pelakon telefilem Warangan bergambar kenangan selepas tamat penggambaran baru-baru ini.

Sinopsis

Pertemuan Hadeef dengan sepupunya, Mikael pada hari kematian pakciknya (Jalil) membuka lembaran baru apabila Mikael memberikan keris Sundang warisan keluarganya kepada Hadeef. Arwah pakcik Jalil mengamanahkan Hadeef untuk menjaganya. Sejak keris Sundang itu berada di tangannya, Hadeef seakan-akan dapat merasai aura semangat yang sangat luar biasa. 

Mikael memperkenalkan Hadeef dengan seorang pembuat keris yang dikenalinya, Mbah Sarman. Dia pernah berguru dengan arwah Tok Jidin berkenaan keris. Mbah Sarman tahu kisah silam antara Khalid dan arwah Tok Jidin. Daripada Mbah Sarman, Hadeef mula mengenal ilmu keris, belajar buat keris dan sebagainya. 

Khalid iaitu bapa Hadeef mula terkesan dengan perubahan Hadeef yang berterus terang mahu beralih bidang iaitu mendalami ilmu pembuatan keris. Pengakuan Hadeef mengejutkan Khalid. Kisah silamnya yang selama ini disimpan rapi di khuatiri terbongkar. Keputusan Hadeef mencabar Khalid. 

Hadeef nekad berhijrah ke kampung, memulakan hidup baru. Dia nekad menuntut ilmu dengan Mbah Sarman. Hadeef semakin mahir mendalami ilmu keris. Dia mula menerima tempahan. Hadeef mewujudkan ‘Youtube channel’ berkenaan keris. Tanpa di duga Hadeef mendapat tempahan yang sangat luar biasa dari dalam dan luar negara. Kepakaran Hadeef sebagai arkitek diterjemahkan ke dalam kerisnya.

Sementara itu, Amanda datang ke kampung itu untuk menyiapkan tesisnya mengenai pembuatan keris. Kehadirannya diraikan Hadeef. Gadis mahasiswa ini banyak menggali info mengenai warisan berzaman, malah Hadeef sangat bangga dapat berkongsi mengenainya.

Dalam tak sedar, Amanda dan Hadeef jadi rapat. Namun, Hadeef tidak mahu tersalah tafsir perasaannya itu. Namun tanpa diduga, tular klip video kononnya keris yang dihasilkan Hadeef dan Mbah Sarman berteraskan ilmu hitam dan khurafat. 

Barulah Hadeef teringat bahawa klip video tersebut adalah daripada rakaman Amanda yang sebenarnya diupah oleh Khalid untuk memusnahkan perusahaan keris tersebut. Amanda sanggup berbuat demikian semata-mata untuk menyelamatkan rumah keluarganya yang hampir dilelong dan rawatan ayahnya yang ditimpa kemalangan. 

Akhirnya, terbongkar rahsia mengapa Khalid sangat bencikan keris dan cuba menafikan asal-usulnya. Ssegalanya berpunca daripada kematian isterinya iatu ibu Hadeef yang maut akibat terkena bisa warangan daripada keris Sundang warisan keluarga mereka.

Telefilem Warangan lari daripada kebiasaan drama Melayu yang menggambarkan kisah cinta dan bisnes bilion ringgit.
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *