Wajah Baharu Studio TV AlHijrah, Kempen Maulidur Rasul diteruskan
3 min read
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad melancarkan sambutan Maulidur Rasul serta wajah baharu Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah di dalam rancangan Assalamualaikum, baru-baru ini.
Tema Manhaj Rabbani, Negara Harmoni dipilih dalam menterjemahkan lapan rancangan yang memanifestasikan kerinduan umat Islam kepada Rasulullah SAW.
Sementara itu, Idris berkata kesemua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) disarankan untuk saling berganding bahu mempromosikan lima Inisiatif Mantap bagi melengkapkan Keluarga Malaysia.
Gagasan yang merangkumi Pemantapan Mental, Jasmani dan Rohani, Pemantapan Sistem Pendidikan Islam, Pemantapan Institusi Kekeluargaan, Sosial dan Komuniti Islam, Inisiatif Pemantapan Institusi Masjid dan Surau dan Pemantapan Sosio Ekonomi Ummah ini bertepatan dengan apa yang dituntut di dalam ajaran Islam menerusi Maqasid Syariah.
“Empat belas agensi agama diamanahkan untuk melaporkan perjalanan Inisiatif Mantap ini agar perancangan dan pelaksanaan dapat berjalan seiring serta KPI 100 hari dapat dicapai. Setakat ini, saya sangat berpuashati dengan usaha kesemua agensi.
“Semua agensi perlu bekerja keras untuk mencari maisyah iaitu kehidupan, mengabdikan diri kepada Allah SWT serta pada masa yang sama meninggalkan legasi yang baik dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan media.

Idris turut menzahirkan harapan agar TV AlHijrah terus mencari kelainan agar stesen ini akan terus kekal menjadi pilihan rakyat.
“Masyarakat memuji siaran TV AlHijrah yang penuh bermaklumat. Maka usaha TV AlHijrah dalam menyampaikan kebaikan Islam kepada masyarakat termasuk masyarakat bukan Islam harus dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Hadir sama pada majllis pelancaran program tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.
Idris juga bersyukur apabila Studio Digital TV AlHijrah melalui proses pembaharuan dari segi rekaan studio, set dan logo. Pembaharuan ini seiring dengan penambahbaikan kandungan rancangan yang lebih segar, mendidik, menghibur serta menjawab isu semasa menerusi penyelesaian dari perspektif Islam.

Namanzee pula memaklumkan tradisi meraikan hari kebesaran Islam akan diteruskan pada bulan ini menerusi Kempen Maulidur Rasul.
“Lapan seleksi rancangan istimewa akan dihidangkan kepada penonton bermula 7 Oktober 2021 sehingga 29 Oktober 2021 manakala, kemuncak siaran membawa penonton memperingati sirah dan sunnah Baginda akan berlangsung pada 19 Oktober.
“Dokumentari ‘Mosques Around The World‘ yang memulakan siaran pada 4 Oktober, Isnin hingga Rabu jam 4 petang harus ditonton kerana ia adalah perkongsian maklumat tentang kepelbagaian masjid-masjid seluruh negara serta kajian tentang unsur budaya masjid sesebuah negara,” katanya.

Tambah Namanzee, penonton juga tidak harus ketinggalan menonton Cinta Ilmu Istimewa Maulidur Rasul pada 18 hingga 20 Oktober, jam 7.30 malam. Prof. Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, Ustaz Roslan Mohamed, Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim serta beberapa panel lain akan membincangkan topik keunggulan Baginda SAW, Perjuangan Rasulullah dan Kelebihan Umat Akhir Zaman.
“Selain itu, kami siarkan Konsert Muhammad Kekasih Agung pada 19 Oktober, Selasa jam 9 malam. Konsert ini adalah simbolik curahan kasih dan kerinduan terhadap Baginda Nabi. Rancangan ini mengabungkan elemen bacaan Al-Quran, persembahan qhasidah, selawat buat Baginda serta monolog, sajak dan tausiyah. Antara personaliti tanah air yang akan kita tampilkan adalah kumpulan Raihan, Kumpulan Zayne, Daqmi, Naqiu, Ustaz Wadi Annuar, Ustaz Jafri Abu Bakar dan ramai lagi,” katanya.
Antara rancangan istimewa lain adalah Sambutan Maulidur Rasul pada 18 Oktober jam 9 malam, siaran langsung Bincang Niaga Istimewa Keluarga Malaysia pada 20 Oktober jam 4.30 petang, Di Ambang Konsert Muhammad Kekasih Agung pada 19 Oktober jam 6 petang, Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan pada 26 Oktober jam 9 malam dan Gema Haflah pada 30 Oktober jam 9 malam.

- Kafebuzz.my

