UPS buka operasi baharu di Senai, tawar akses pantas dan fleksibel
3 min read
UPS iaitu salah sebuah syarikat penghantaran bungkusan dan pengurusan rantaian bekalan terbesar di dunia menaik taraf mutu perkhidmatannya di Johor dengan mengurangkan tempoh penghantaran dengan ketara serta meningkatkan ketersambungan global bagi pelanggan UPS di seluruh negara.
Dalam satu kenyataan media, UPS menyatakan operasi baharu yang merangkumi sebuah gudang di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan pusat pembungkusan di Senai ini terletak di salah satu kluster pembuatan dan industri terkemuka di Johor yang berada di tengah-tengah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Justeru, barangan import dan eksport ke Johor dari negara-negara Asia Pasifik kini boleh menikmati penghantaran hari berikutnya, manakala barangan import dan eksport dari Eropah dan Amerika Syarikat akan tiba seawal dua hari bekerja. Ia memberikan penjimatan masa satu hari bekerja yang diperkasakan dengan penambahbaikan ketersambungan antara Johor dan Lapangan Terbang Changi Singapura.
Pengarah Urusan Kanan UPS Malaysia, Ingrid Sidiadinoto berkata, seiring dengan peluang pertumbuhan yang terdapat di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, UPS teruja untuk membuka perkhidmatan baharu di Johor.
“Ia seiring dengan peluang bagi perniagaan untuk berkembang dan membina daya ketahanan yang lebih kukuh dalam rantaian bekalan mereka.
“Johor merupakan sebuah pusat perindustrian penting di selatan Malaysia, terutamanya untuk syarikat pembuatan dan berteknologi tinggi. Kemampuan pengurusan pesanan yang pantas amat penting bagi sektor ini dan kini pelanggan UPS di Johor boleh menghantar dan menerima penghantaran ke dan dari mana-mana lokasi di dunia dalam tempoh dua hari bekerja atau kurang.
“Ini menawarkan akses pantas dan fleksibel yang diperlukan oleh perniagaan kepada rangkaian terkemuka industri kami untuk menjadikan mereka lebih responsif, berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Abdul Majid pula berkata, operasi baharu di Johor ini mengukuhkan komitmen berterusan UPS untuk menyokong perniagaan di Malaysia dengan menyediakan akses lebih baik kepada rangkaian logistik global bersepadu bertaraf dunia UPS.
“Pembukaan operasi baharu UPS di Johor mencerminkan perkembangan kedudukan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan dan logistik rantau.
“Menerusi lokasi strategik di Senai, fasiliti ini mendapat manfaat daripada ketersambungan pelbagai mod yang teguh, termasuk lebuh raya yang membangun, rangkaian keretapi dan ia juga berdekatan dengan pelabuhan utama, menjadikannya pintu masuk yang ideal untuk penyelesaian logistik bersepadu.
“Pencapaian ini melengkapkan wawasan MADANI kerajaan untuk meletakkan Malaysia sebagai ekonomi bernilai tinggi dan dipacu inovasi. MIDA akan terus menyokong syarikat seperti UPS, memupuk pertumbuhan mampan mereka dalam ekosistem logistik Malaysia yang kian membangun,” katanya.

Penaiktarafan ini adalah yang terbaru dalam siri pelaburan terkini oleh UPS bagi rangkaian Malaysia.
Pada tahun 2024, UPS telah memperkenalkan peningkatan kepada perkhidmatan untuk membolehkan penghantaran dari Johor ke lebih 50 negara di seluruh benua Amerika selesai seawal dua hari bekerja.
UPS juga telah mengumumkan kerjasama dengan Ninja Van untuk menyediakan perkhidmatan ekspres antarabangsa UPS di mana-mana 52 cawangan Ninja Van Malaysia di Lembah Klang pada tahun yang sama.
- Kafebuzz.my




