TV9 imbau kenangan 6 filem terbaik Mamat Khalid
3 min read
Ramai penggiat seni dan peminat masih terasa kehilangan pengarah filem tersohor, Allahyarham Mamat Khalid.
Bagaimanapun, karya arwah tetap segar dalam ingatan peminatnya. Justeru, stesen TV9 merakamkan penghargaan dan mengimbau kenangan buat penghibur kesayangan ramai itu menerusi tayangan 6 filem arwah menerusi slot Kuasa 3 bermula hari ini (26 Oktober) hingga 4 November depan.
Filem tersebut adalah Rock pada 26 Oktober jam 9.30 malam diikuti Rock oo! (29 Oktober, 8.30 malam), Rock Bro (30 Oktober, 8.30 malam), Rock 4: Rockers Never Dai (2 November, 9.30 malam), Lebuhraya Ke Neraka (3 November, 9.30 malam) dan Lang Buana (4 November, 9.30 malam).
Rock (26 Oktober, 9.30 malam)
Plot mengisahkan sekumpulan remaja di era tahun 80-an yang bercita-cita mahu jadi terkenal sebagai kumpulan muzik rock. Zack, seorang pemain gitar dengan rakannya, Jijo yang mahir dalam bass, Black seorang drummer dan Amy sebagai vokalis dalam kumpulan itu. Mereka perlu mengharungi pelbagai ujian dan rintangan demi menggapai impian itu. Rock dibintangi Hasnul Rahmat, Que Haidar, Khir Rahman, Sofi Jikan dan Pekin Ibrahim.

Rock oo! (29 Oktober, 8.30 malam)
Menampilkan gandingan pelakon asal iaitu Que Haidar, Khir Rahman, Sofi Jikan dan Pekin Ibrahim, sekuel kali ini mengisahkan perjalanan sebuah band muzik ‘rock kapak’ dikenali sebagai Rimba Bara yang gigih mencipta nama di persada muzik tanah air. Amy Mat Piah lakonan Que, seorang pemuda yang berpegang kepada prinsip bahawa budak kampung moden tidak akan mudah berputus asa dan berjanji akan membawa kembali ahli-ahli Rimba Bara – Jijo (Khir), Slash Haji Tapah (Pekin) dan Mi Black (Azmi Black) untuk kembali beraksi.

Rock Bro (30 Oktober, 8.30 malam)
Kumpulan band rock, Rimba Bara masih berkecimpung dalam industri muzik yang penuh dengan permainan politik dalaman. Sementara itu, Jijoe bertemu dengan Ratu Rock, Ella di studio rakaman dan terus jatuh cinta dengannya. Demi mengejar cinta Ella, Jijoe sanggup meninggalkan Rimba Rock dan menjadi seorang kontraktor supaya hidupnya lebih stabil. Keputusan Jijoe bakal mengakibatkan perpisahan band Rimba Bara dan konflik mula melanda dalam kalangan ahli kumpulan itu. Filem ini dijayakan Khir Rahman, Sofi Jikan, Pekin Ibrahim dan Azmi.

Rock 4: Rockers Never Dai (2 November, 9.30 malam)
Filem sekuel keempat ini mengisahkan Ronnie James Dio ataupun dikenali sebagai Sharwani Aduha Mat Lahad bangkit selepas koma selama 20 tahun akibat satu kemalangan jalan raya. Dio terkenang masa lampau di mana dia terlibat bersama kumpulan Rimba Bara. Oleh itu, Dio membuat keputusan untuk mendirikan band baharu yang dinamakan sebagai Rimba Bara 2. Namun, Dio berhadapan cabaran apabila trend muzik berubah. Antara pelakon yang turut serta dalam filem ini ialah Sharwani NS, Hazama, Adam John dan Bulan Terry.
Lebuhraya Ke Neraka (3 November, 9.30 malam)
Dibintangi Datuk Awie, Khir Rahman, Shahz Jaszle dan Pekin Ibrahim, filem genre seram ini mengisahkan sekumpulan anak-anak muda yang sukakan motosikal berkuasa tinggi dan gemar mengembara secara merentas desa dan dikenali dengan nama kumpulan iaitu Rentaz. Ketika dalam satu konvoi ke Betong Siam, mereka dibawa ke alam barzakh atau berhalusinasi dalam alam koma.
Lang Buana (4 November, 9.30 malam)
Ketika Gunung, Daik dan Bercabang melarikan diri daripada tuan mereka iaitu Orang Kaya Seri Bentan, mereka terjumpa sebuah pekan bernama Lang Buana yang terletak di tepi sungai. Penduduk di situ mengalu-alukan kedatangan mereka dengan acara yang meriah sekali. Ketika mereka bertiga hairan dengan sambutan itu, barulah mereka sedar bahwa penduduk Lang Buana tersalah anggap mereka ialah putera-putera yang ditunggu-tunggu. Malahan, mereka juga diharapkan dapat menyelamatkan Lang Buana dari serangan Sang Nira. Filem ini dilakonkan Azlee Jaafar, Wahid Mohd, Lan Pet Pet dan Saiful Apek sebagai pelakon utama.
- Kafebuzz.my

