02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

“Terima kasih Malaysia” – Ronan Keating cipta memori terindah bersama peminat tempatan

4 min read

Ketika menuju puncak sebuah pusat peranginan popular, hari mula hujan.

Banyak kereta menuju destinasi sama. Cuaca semakin berkabus dan dingin. Hari juga makin gelap.

Setiba di Arena of Stars, Genting Highlands dan masuk ke dalam, kelihatan ramai peminat sudah berkumpul menunggu masuk ke dalam lokasi konsert. Masing-masing teruja mahu berhibur dengan penyanyi terkenal antarabangsa Ronan Keating.

Tanpa membuang masa lama kira-kira jam 8.41 malam, mantan vokalis utama kumpulan pop terkenal, Boyzone itu muncul bersama gitar menyampaikan lagu pembukaan, Heyday yang pernah dipopularkan menerusi album solonya, Songs from Home pada tahun 2001.

Keating membuktikan kehebatan lagu popularnya bersifat malar segar. (Foto: MIC Entertainment Group)

Habis lagu tersebut, dia melompat tanpa gitar lalu terus menyanyikan lagu rancak, Loving Each Day sambil ditemani visual latar belakang pentas seperti satu perjalanan menaiki kereta melalui kawasan pantai yang dipenuhi banyak pokok kelapa.

“Pada Februari 2020, kita semua ingat apa yang berlaku, saya berada di sini seminggu sebelum sekatan (Perintah Kawalan Pergerakan). Ia merupakan konsert terakhir saya di sini. Dalam tempoh dua tahun, ia merupakan apa yang saya rasa apabila ingat momen tersebut dan saya kini kembali, terima kasih banyak kerana bersama saya semula,” katanya di atas pentas selepas menyanyikan lagu Breathe dan kemudian kembali beraksi dengan lagu Isn’t It A Wonder.

Keating muncul dalam konsert solonya keduanya di Malaysia. (Foto: MIC Entertainment Group)

Penyanyi berusia 46 tahun ini pernah mengadakan persembahan di lokasi sama pada tahun 2020. Tahun ini, dia kembali menerusi Ronan Keating Concert Live in Malaysia 2023 dibawakan MIC Entertainment Group.

Bersambung dengan persembahan lagu seterusnya berjudul Baby Can I Hold You, lontaran vokalnya begitu membuai perasaan penonton. Begitu juga lagu popular Words dan You Needed Me disampaikan dengan penuh penghayatan turut secara tidak langsung mengajak penonton menyanyi bersama.

Ditemani penata cahaya pentas hijau dan ungu dibantu visual latar belakang pemandangan grafik kotaraya dari udara, suasana menjadi cukup romantis seolah mengimbau kenangan bercinta pada zaman muda.

“Saya mula menyanyi pada usia 16 tahun dan kini 46, saya tidak pernah mengambil mudah ketika membuat persembahan.

“Saya menghargai peluang istimewa berada di atas pentas ini untuk mengadakan persembahan sebegini. Saya harap anda semua terhibur, terima kasih Genting… terima kasih… terima kasih Malaysia,” katanya.

Keating selesa bercerita sejarah lagu popularnya. (Foto: MIC Entertainment Group)

Tidak hanya menyanyi, Keating seorang penghibur yang bijak menggunakan setiap masa yang ada di atas pentas. Setiap lagu mempunyai cerita dan sejarahnya lalu dia mengambil peluang mengimbau nostalgia dengan bercerita di sebalik pembikinan sesebuah lagu itu.

Sambungnya, ketika dia mengambil keputusan bergerak secara solo pada tahun 1999 dan muncul dengan album pertama, dia mula menulis lagu dan meluangkan masa dengan ramai artis antaranya Bryan Adams lalu mereka bekerjasama menerusi lagu The Way You Make Me Feel.

Keating turut mengajak peminat setianya menyanyi bersama. (Foto: MIC Entertainment Group)

Bagaikan malam masih muda, Keating terus bersemangat menyampaikan lagu If Tomorrow Never Comes. Suasana menjadi lebih romantis menerusi lagu In This Life menyaksikan Keating berbaju T putih menyanyi sambil memetik gitar.

Usai persembahan lagu tersebut, Keating bercerita pula kisah di sebalik lagu Father and Son nyanyian asal Yusof Islam yang juga dikenali sebagai Cat Stevens.

“Ia merupakan ‘game changer’ pada saya apabila dapat bertemu salah seorang hero muzik saya, kami menjadi kawan. 10 tahun kemudian saya merakam semula lagu ini dan saya bertanya pada Yusof Islam jika dia boleh datang ke studio dan merakam secara duet.

“Dia kata tidak. Dia tidak lagi mahu menyanyi lagu kontemporari. Saya kata okay, apa kata datang tengok apa yang saya buat. Apabila di studio, saya tanya jika dia mahu jadi penyanyi latar, dia kata okay. Dia menyanyi bahagian korus ketika rakaman.

“Saya mainkan semula lalu bertanya padanya semula. Apa pendapat anda? Bagus tak, ya. Dua minggu selepas itu, dia kata jom duet. Pengajaran moral di sebalik kisah ini ialah berhati-hati dengan apa yang kamu hajatkan, ada ketika ia menjadi kenyataan. Lagu ini begitu istimewa,” katanya kemudian menyampaikan lagu Father and Son.

Keating menyampai 20 lagu terbaiknya pada Ronan Keating Concert Live in Malaysia 2023 yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang baru-baru ini. (Foto: MIC Entertainment Group)

Gaya santai dan bersahaja ketika menyanyikan lagu tersebut begitu mengasyikkan. Begitu sepanjang hampir 2 jam persembahan, Keating masih kelihatan bertenaga dan bersemangat hingga ke penghujung persembahan.

Kemuncak pemilihan 20 lagu yang dinyanyikan pada malam itu sudah tentu lagu tema filem romantik komedi popular, Notting Hill yang pernah dijayakan pelakon utama, Hugh Grant bersama Julia Roberts. Lagu berjudul When You Say Nothing at All mengundang rasa teruja peminat nyanyi bersama-sama dari bait awal hingga akhir.

Keating menghargai peminat setianya di Malaysia. (Foto: MIC Entertainment Group)

Tiba di penghujung, Keating menutup kenangan terindah dengan peminat pada malam itu menerusi lagu rancak, Rollercoaster. Peminat tidak melepaskan peluang menyanyi dan bangun menari bersama.

Nyata, pesona Ronan Keating sama ada sebagai penyanyi solo mahupun populariti ketika bersama bandnya, Boyzone masih kekal relevan hingga hari ini dan diminati ramai peminat setianya. Tanpa terlalu memikirkan lagu baharu untuk dipersembahkan dalam sebuah persembahan bertaraf konsert, aksinya pada konsert kali ini masih tetap hebat dengan koleksi lagu popularnya ketika di era 90-an.

Jika orang lain menganggap persembahan Ronan Keating Concert Live in Malaysia 2023 biasa saja bagaimanapun bagi 4,700 peminat setia yang hadir pada malam itu, Keating mencipta sebuah memori terindah seumur hidup yang akan dikenang selamanya.

Keating pernah merakam lagu Father and Son nyanyian asal Yusof Islam. (Foto: MIC Entertainment Group)
Persembahan hampir 2 jam Keating memberi kepuasan kepada peminat setianya. (Foto: MIC Entertainment Group)
Keating pernah hadir membuat konsert di Malaysia pada tahun 2020. (Foto: MIC Entertainment Group)
Keating membawa peminat setia mengimbau kenangan bersama lagu-lagu popularnya. (Foto: MIC Entertainment Group)
Aksi Keating ketika menyampaikan lagu The Way You Make Me Feel. (Foto: MIC Entertainment Group)
Gaya bersahaja Keating ketika menyanyikan lagu In This Life. (Foto: MIC Entertainment Group)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *