02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Tampil berhijab, Indah Edrea ingin mencuba lagu ketuhanan

2 min read

Setahun lalu dia tampil berhijab.

Penampilan baharu itu sudah tentu memberi pelbagai persepsi orang sekeliling terutama peminat.

Bagi penyanyi berbakat besar, Indah Edrea, keputusan untuk tampil berhijab sementelah pulang dari umrah adalah suatu perubahan yang ingin dilakukan dalam hidupnya.

Biarpun namanya masih meniti puncak populariti dalam karier seni, dia sentiasa ingat pesan arwah bapanya.

“Sebab pesan ayah pun ingin saya lebih menutup aurat. Indah pun tak ingin menjadi beban untuk arwah ayah di sana,” katanya kepada Kafebuzz.

Indah mengambil keputusan berhijab sejak setahun lalu.

Jelasnya, cabaran sebenar ditempuh ketika mengadakan persembahan dengan gaya berhijab belum lagi dirasai memandangkan impak pandemik COVID-19 masih membataskan pergerakan secara fizikal.

“Belum sangat terlihat sebab belum betul-betul muncul lagi untuk acara besar guna hijab. Selama ini masih virtual sebab terhad kerana pandemi ini tapi orang-orang sekitar banyak beri sokongan pada Indah waktu memutuskan guna hijab dan memang bukan keputusan yang mudah saat menetapkan hati berhijab apalagi di dalam industri hiburan,” katanya.

Baginya, niat untuk berubah imej ke arah kebaikan adalah demi Allah dan ibu bapanya.

“Bila pun bukan rezeki Indah dengan penampilan baru ini di dunia industri hiburan, insha Allah nanti Allah ganti dengan rezeki yang lain. Aku berserah diri kepada Allah saja,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan karier seni ketika ini, Indah mempunyai perancangan untuk menghasilkan lebih banyak lagu baharu selepas single Karena Kamu yang dihasilkan tiga tahun lalu.

Karena Kamu itu Indah buat lagunya 2018, buat muzik video pada 2019. Saat mau promo terhambat pandemi dan video clip itu Indah belum berhijab.

“Jadi, Indah minta label untuk ‘upload’ aja dulu kat YouTube sebab kalau lambat lagi orang akan keliru, kenapa muzik video tak guna hijab,” katanya.

Indah sebelum ini pernah mencuri tumpuan khalayak menerusi single Pergilah Bersamanya yang diperkenalkan pada tahun 2016.

“Bagi lagu Karena Kamu, Indah mencuba untuk menghasilkan lagu sendiri dengan nuansa yang berbeza tapi bila lagu yang Indah cipta sendiri itu lebih ingin bercerita tentang kebahagiaan. Indah ingin menebar aura positif pada lagu untuk pendengar,” katanya.

Dalam mencari kepuasan berkarya menerusi lagu ciptaan sendiri, Indah juga mempunyai perancangan untuk menghasilkan lagu berkonsep ketuhanan, keagamaan dan berdakwah.

“Mungkin ke depan pelan ini, Indah teringin sangat bawakan lagu lebih ‘religious’,” katanya.

Sejujurnya, dia masih dalam mencuba untuk menghasilkan lagu sendiri lagi.

“Ada kawan buat lagu untuk Indah bawakan lagunya sebab dia cakap rasanya sesuai dengan karakter suara Indah. Boleh menyayat hati bila di dengar,” katanya.

Berkongsi situasi pandemik di sana, Indah memberitahu kes di negaranya mula turun berkemungkinan ramai individu sudah mendapatkan suntikan vaksin.

Indah yang sudah mendapat dos pertama akan menerima dos kedua pada 23 September ini. Dalam pada itu, Indah bersyukur keluarganya masih selamat daripada dijangkiti penyakit berbahaya itu.

“Indah berusaha jaga imun saja dengan sering bersukan seperti berjoging, makanan teratur dan mengambil vitamin.

“Selepas suntikan dos pertama, Indah lapar terus dan dehidrasi. Jadi, banyak minum air juga,” katanya.

Indah percaya pada rezeki daripada Allah meskipun sudah berhijab.
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *