“Soal integriti tiada maaf bagimu,” – Ayob Khan akui konsep Keluarga Malaysia selari Rukun Negara kukuh perpaduan kaum
2 min read
Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiada kompromi dalam soal integriti.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota polis yang didapati terbabit dalam kes salah laku akan tetap diambil tindakan menerusi siasatan dalaman. Malah, setiap Ketua Polis Daerah (OCPD) perlu sain Surat Aku Janji bahawa tiada aktiviti perjudian berlaku di kawasan mereka, jika tidak mereka akan bertanggungjawab.
“Jika kita tidak bertegas isu ini, ia tidak habis. Dalam apa jua tindakan kita buat, dalam zaman media sosial, kita nak orang faham apa tindakan yang telah kita ambil, jika kita tidak kongsi mereka tak tahu.
“Contoh, tangkap penagih dadah tapi esok dah keluar. Orang awam tak tahu kemungkinan kita bawa ke mahkamah tak bagi reman. Begitu juga dengan pusat hiburan, persepsi masyarakat mengatakan polis makan rasuah sedangkan lesen di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya dalam program Seminar Negara Bangsa Integriti Keluarga Malaysia anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) disiarkan menerusi Facebook Live , hari ini.

Tambahnya, lambang Allah dan Muhammad SAW pada logo PDRM mempunyai nilai agama yang besar dipikul setiap anggota.
“Sebagai anggota polis kena pegang betul-betul nilai agama. Mana ada agama berpegang pada rasuah, tambahan bagi orang Islam. Pegawai polis bawa maruah paling tinggi jika tidak habis tercemar semua.
“Ada Allah dan Muhammad SAW kena jaga betul-betul lambang polis bukan sekadar pakai di baju jika tidak masuk ke dalam jiwa untuk menghayatinya. Kalau pegang benda ‘simple’ macam ini, kita akan berada di landasan betul.
“Kita ada buat silap, biasa sebagai manusia tetapi soal integriti tiada maaf bagimu,” katanya.
Bercakap konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau berpandangan konsep tersebut selari dengan Rukun Negara di mana ia lebih mengukuhkan perpaduan kaum dan agama antara rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Ini mewujudkan semangat kebersamaan, keluarga lagi rapat macam keluarga kita dengan keluarga orang lain. Semangat Kebangsaan membentuk sentimen pada masyarakat dalam menangani COVID-19 dan konsep ini sangat penting.
“Kita jangan cari perbezaan tapi cuba tengok persamaan kita dari aspek agama, sosial dan ekonomi yang paling penting. Tanpa persefahaman, kita tidak akan membentuk nilai tinggi.
“Sebuah negara dan bangsa boleh runtuh, jadi amat sesuai konsep Keluarga Malaysia ini diperkenalkan dengan keadaan sekarang apatah lagi politik tidak stabil,” katanya.
Tambahnya, secara keseluruhan Malaysia berada dalam keadaan aman dan tenteram.
“Meskipun ada sedikit insiden melibatkan isu perkauman dan jenayah tetapi secara keseluruhan alhamdulillah kita dapat atasi masalah ketenteraman dan perpaduan kaum,” katanya.
- Kafebuzz.my

