02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Siti Saleha Bintang Asia Paling Menyerlah

2 min read

Aktres jelita, Siti Saleha berjaya meraih anugerah Outstanding Asian Star.

Anugerah terbaharu tersebut diterima pelakon berpengalaman itu pada Seoul International Drama Awards 2024 (SDA 2024) yang bersiaran secara langsung dari Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan menerusi saluran SBS TV dan penstriman di YouTube rasmi SDA, semalam. 

Kemenangan Siti Saleha membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa berjaya menarik perhatian juri menerusi lakonannya dalam drama Tonton Original Series: SeOfis.

Siti Saleha (tengah) bersama pemenang-pemenang Seoul International Drama Awards 2024. (Foto: TV3)

Siti Saleha berkata, dia mendedikasikan kemenangan kali ini buat negara yang disifatkan sebagai impian menjadi kenyataan.

“Terima kasih, Seoul International Drama Awards! Ini untuk Malaysia! Saya sangat bersyukur atas pengiktirafan ini dan saya ucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada Tonton dan TV3 Malaysia kerana sentiasa menyokong hasil kerja saya.

“Sokongan yang diperoleh ini menjadikan kemenangan kepada realiti. Memenangi trofi ini untuk SeOfis adalah impian yang menjadi kenyataan dan membawa pulang kemenangan pertama Malaysia dalam kategori ini sejak 2017 adalah kemenangan yang sangat membanggakan! Kepada pelakon, kru, dan semua yang menjayakan drama ini, ini adalah untuk anda semua dan kepada peminat saya, sokongan anda sangat berharga,” katanya dalam satu kenyataan media.

Siti Saleha meraih anugerah tertinggi di peringkat Asia. (Foto: IMBCNews)

Siti Saleha membawakan watak sebagai Samirah atau Sam dalam SeOfis yang mempamerkan lakonan dari sisi berbeza dengan karakternya yang kuat, dan penuh semangat yang menjadi inspirasi kepada ramai wanita.

SeOfis turut menggandingkan Siti Saleha bersama Nadiya Nisaa, Nadia Aqilah dan Fahrin Ahmad mengisahkan cabaran dihadapi tiga wanita berkerjaya di usia 30-an berlainan personaliti dalam menghadapi pelbagai cabaran karier serta kehidupan peribadi di ibu kota. Plot drama ini menyentuh soal persahabatan, impian dan cinta.

Siti Saleha membawakan watak Samirah atau Sam dalam SeOfis. (Foto: TV3)

Pengurus Kanan Pemasaran Kandungan, Tonton (TV3), Muhammad Taqyuddin Kamil pula berkata,
proses selepas tapisan oleh pihak SDA 2024, pengundian dilakukan melalui aplikasi IDOL CHAMP sehingga 14 Julai lalu.

“Kategori ini melibatkan enam negara iaitu Korea Selatan, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, dan Malaysia dengan keputusan seratus peritus berdasarkan undian peminat global. Siti Saleha dicalonkan menerusi drama Tonton Original Series: SeOfis dan dinobatkan sebagai pemenang Outstanding Asian Star bagi Malaysia, setelah tujuh tahun negara ini tidak memenangi pencalonan tersebut,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *