Sikap profesional Dr Muhaya jernihkan kontroversi ‘bodoh-bodoh sikit’
3 min read
Dalam satu babak, seorang lelaki baru balik kerja meminta isteri mengambil seliparnya sebelum dia pergi mengambil segelas susu dan duduk di sofa.
Wanita itu dengan muka masam menuruti permintaan suaminya itu. Reaksi muka isteri itu seolah menyatakan suaminya membentak dirinya agar patuh ‘arahan’ suami itu dan menganggap dia seperti kuli.
Susulan peristiwa itu, dia mula menghasut golongan wanita lain agar bersatu dengan cara meninggalkan rumah masing-masing, tinggalkan suami dan anak-anak lalu mereka berkumpul di sebuah restoran dan kemudian bersepakat buat petisyen.
Hari bersilih ganti, suami masing-masing mula pening kepala. Anak kecil merenggek tidak mahu makan sebab rindukan ibunya.
Tanggungjawab isteri terbengkalai, suami terpaksa melakukan semua kerja seperti memasak, basuh baju, uruskan bayi sebelum keluar bekerja hingga tinggalkan anak-anak bersendirian di rumah. Apakah kesudahannya?
Semua suami terpaksa berkumpul untuk bincang dan kemudian terpaksa akur tanda tangan petisyen isteri-isteri yang mahu hak sama rata diberikan pada isteri ketika di rumah.
Kisah suami isteri itu adalah salah satu episod dalam drama bersiri popular zaman 70-an, Little House on the Prairie yang disiarkan di saluran Hits Movies HD (saluran 401) Astro pada malam sebelum isu ‘perempuan kena jadi bodoh-bodoh sikit’ cetus kontroversi di seluruh dunia.
Kontroversi ‘bodoh-bodoh sikit’
Tanggapan ‘perempuan perlu jadi bodoh sikit untuk dapat jodoh’ membuatkan ramai individu tidak kira lelaki atau perempuan termasuk selebriti tempatan dan doktor di London tampil memberikan pendapat masing-masing yang marah tak tentu pasal.
Ia berikutan satu klip video berdurasi 56 saat berjudul Kenapa Wanita Lambat Dapat Jodoh? yang menampilkan kenyataan pakar motivasi terkenal, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad. Rakaman klip video itu adalah petikan dari live FB page Prof Muhaya dan YouTube diterbitkan pada 6 Februari 2021 jam 6 petang dengan tajuk Antara Cinta dan Cita-Cita.
Ada yang bersikap terbuka dan berfikiran lebih mendalam terhadap maksud yang cuba disampaikan personaliti TV popular itu. Sebaliknya, ada pula individiu khususnya segelintir selebriti yang bertindak mencurah minyak pada api yang sedang marak.
Bagi pakar motivasi berpengalaman seperti Dr Muhaya yang sering memberi semangat dan kata-kata positif pada orang ramai, kecaman individu terbabit di media sosial padanya membuatkan dia lebih bersikap profesional dan tenang berdepan situasi berkenaan.
Beliau yang mesra dipanggil bonda memberi penjelasan dalam akaun Instagramnya, @profmuhayaofficial mengakui klip video yang disunting itu menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat terutama kaum wanita sehingga menimbulkan persoalan, perbalahan dan sangkaan.
“Bonda mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf atas salah faham yang timbul dan ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang ambil berat termasuk pihak media, rakan-rakan dan keluarga yang mengambil inisiatif tabayyun, atau bertanya akan perkara sebenarnya kepada Bonda mahupun team Bonda.
“Kepada pihak media juga, sangat baik budi akhlaknya sehingga kini menanti statement Bonda, maka Bonda tampil membuat penjelasan ini. Terima kasih kerana sabar ya,” katanya dalam status yang dimuat naik semalam.
Sebagai penjelasan lanjut, beliau turut menyertakan pautan video penuh rakaman syarahannya itu untuk orang ramai tonton.
“Bonda juga seorang wanita, isteri, ibu dan nenek yang berkerjaya dan semestinya sentiasa mendukung, mendoakan wanita semua berjaya ke puncak tertinggi, berbahagia dunia akhirat dan mendapat redha Allah.
“Atas salah faham ini, Bonda ingin hadiahkan nota ringkas live CINTA & CITA-CITA (di youtube) sebagai rujukan bagi menjawab segala persoalan yang timbul. Terima kasih, Bonda sayang semua tanpa syarat,” katanya.

Ketika Dr Muhaya tampil memberi penjelasan lanjut, penceramah agama popular Ustaz Ahmad Dusuki terlebih duhulu menghubungi Dr Muhaya untuk mendengar penjelasan sebenar.
“Maksud kalimah beliau “bodo bodo skit” tu bukan bermaksud membodohkan diri, tapi merujuk kepada merendahkan diri, tidak terlalu menyombong dan ego dengan dengan apa yang di miliki. Bahasa mudah lebih tawadduk agar di angkat darjat di sisiNya, Kepada posisi perempuan solehah, demikianlah anugerah jodoh yang baik yang Allah sediakan,” katanya dalam status yang dimuat naik di Instagram, @ustazahmaddusuki.
Penjelasan dan pemohonan maaf Dr Muhaya serta perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki di media sosial sudah menjawab kekeliruan dan tuduhan netizen pada pakar motivasi itu.
Apa yang menyedihkan apabila ada pelawak terkenal tergamak membuat naik status menyindir Dr Muhaya sambil meletakkan gambar pakar motivasi itu seperti poster pada statusnya itu dan juga menyindir jawatan sebagai profesor dan Dr.
Ia suatu yang memalukan buat selebriti tersebut yang tidak faham mesej sebenar yang mahu disampaikan Dr Muhaya.
Apa pula kaitan kisah kontroversi Dr Muhaya dengan salah satu episod drama bersiri Little House on the Prairie tadi? Jika netizen itu cerdik dan berfikiran kritis, dia akan faham tetapi jika hanya didorong emosi dan perasaan negatif, ia akan menjadi sebaliknya seolah perlawanan mengangkat jantina mana lebih bagus.
- Kafebuzz.my

