“Setiap kali anda terfikir mengkritik dan membenci diri sendiri, cuba fikirkan sesuatu yang anda suka dan bangga pada diri anda. Siapa lagi yang akan sayangkan anda kalau bukan anda sendiri?” – Dr Sahol Hamid
3 min read
Jika anda menunggu saat-saat bahagia, anda akan menunggu selama-lamanya.
Tetapi jika anda mula sedar bahawa anda sebenarnya bahagia, anda akan mula rasa bahagia. Perkara terbaik dalam kehidupan adalah setiap pagi anda mempunyai peluang baru untuk menjadi seorang yang lebih baik.
Setiap orang dilahirkan dalam kehidupan yang berbeza-beza. Ada di antara kita mungkin bernasib baik ditakdirkan punyai kehidupan selesa dan ada yang kurang bernasib baik yang punya kehidupan yang payah. Terpulang kepada kita semua untuk mengubahnya menjadi lebih baik atau teruskan sahaja mengeluh tanpa berusaha mengubah apa-apa.
Saya amat menghormati dan cenderung memberi peluang kepada orang yang sanggup ketepikan keegoan mereka dengan mengakui kesilapan dan akan berusaha memperbetulkan kesilapan mereka. Dalam kehidupan ini tidak mengapa jika ramai kawan. Tetapi jangan cuba mencari musuh, kerana seorang musuh sudah cukup untuk menghancurkan hidup anda. Jadi elakkanlah bermusuhan dengan orang lain. Jadikan musuh, kawan anda.
Kebahagiaan bukan bermula dengan perhubungan, pekerjaan, wang ringgit atau kebendaaan. Kebahagiaan bermula dalam diri anda sendiri. Jangan sesekali pandang rendah pada orang lain melainkan anda bantu mereka untuk memajukan diri. Kehidupan yang indah tidak terjadi begitu sahaja. Ia dicipta dengan kebaikan, kerja keras, perjuangan dan cinta.
Pengembaraan terbesar yang boleh anda lakukan ialah menjalani kehidupan yang anda impikan. Jangan putus asa untuk mencapai apa yang anda impikan selama ini. Teruskan berusaha dan semoga suatu hari nanti anda berjaya mencapainya. Setiap kali anda terfikir untuk mengkritik dan membenci diri anda sendiri, cuba fikirkan sesuatu yang anda suka dan bangga pada diri anda. Siapa lagi yang akan sayangkan anda kalau bukan anda sendiri?
Anda tidak boleh mengubah kebenaran tetapi kebenaran boleh mengubah anda. Semakin kita meningkat usia, kita sedar bahawa tidak perlu adanya terlalu ramai kawan. Tetapi adalah penting untuk punyai kawan yang benar-benar ikhlas dan setia bersama di saat susah dan senang.
Setiap orang akan tempuhi episod penyesalan dalam kehidupan. Berhenti menyalahkan diri kerana penyesalan tidak akan kembalikan masa lalu. Kita cuma boleh perbaiki diri dan ambil pengajaran untuk tempuhi hari mendatang. Setiap kejadian mengajarkan kita lebih dewasa menempuh kehidupan lebih baik pada masa akan datang.
Perjalanan hidup kita tidak selalunya lancar. Akan adanya liku-liku dan rintangan dalam kehidupan. Tetapi jangan berhenti melangkah dan teruskan berjuang. Semoga anda lebih kuat dari versi anda sebelum ini. Anda tidak perlu setuju dengan semua orang untuk semua perkara hanya untuk buktikan anda seorang yang baik hati.
Apabila anda memilih teman hidup, anda mengatur banyak perkara dalam kehidupan anda. Anda harus bayangkan si dia adalah seorang yang akan jadi ibu/ bapa dan bersama-sama membesarkan anak-anak anda, yang akan bergaul mesra bersama keluarga dan rakan anda, yang akan jadi teman makan anda untuk beribu-ribu kalinya, yang setia menemani anda berjalan ke mana-mana, yang akan bercakap, bertukar idea dan berkongsi rahsia dan bermacam-macam lagi perkara untuk beribu-ribu harinya. Jadi pilihlah seorang yang mampu membahagiakan dan setia jadi peneman hidup anda untuk selama-lamanya.
Setiap orang punyai cara berbeza-beza untuk mendapatkan bahagia. Ada yang suka membaca, menonton TV berjam-jam, main game lama-lama, berhias diri, suka makan, tidur dan sebagainya. Jangan prejudis dan mengecam orang lain andainya cara mereka mendapatkan bahagia berbeza dengan cara anda. Kerana setiap orang berhak untuk bahagia dengan cara masing-masing (tanpa mendatangkan kesusahan pada orang lain).
- Petikan daripada perkongsian Dr Sahol Hamid Abu Bakar (Facebook)
- Kafebuzz.my

