01/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Seruan solidariti, solat hajat demi Gaza

1 min read

Rakyat Malaysia diseru bersolidariti dan mengadakan solat hajat untuk masyarakat Palestin di Gaza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata, beliau menyeru seluruh masjid dan surau agar melakukan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah.

“Saya dengan penuh rasa tanggungjawab dan simpati terhadap penderitaan yang sedang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza, menyeru seluruh umat Islam di negara ini untuk bersolidariti, berdoa dan munajat khususnya dengan mengadakan solat hajat dan Qunut Nazilah di seluruh masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI),” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Ujarnya, dalam tempoh yang amat kritikal ini rejim Zionis sedang menggandakan serangan dan tekanan ke atas Gaza yang sekian lama dizalimi.

“Justeru, sebagai umat Islam yang prihatin dan bersaudara, marilah kita bersatu hati memohon pertolongan Allah SWT agar melindungi saudara-saudara kita di sana daripada sebarang bentuk kezaliman dan kemusnahan.

“Saya turut menyeru semua imam-imam masjid dan surau JAKIM serta JAWI untuk memimpin Qunut Nazilah dalam solat berjemaah terutamanya pada solat Subuh, Maghrib dan Isyak serta memperbanyakkan doa-doa khusus untuk keselamatan rakyat Palestin serta pembebasan bumi Al-Quds.

“Semoga usaha ini menjadi manifestasi solidariti umat Islam Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT,” katanya.

  • Kafebuzz.my
  • Foto: The Gaza

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *