02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Selepas Mat Kilau, Syamsul Yusof angkat kisah pahlawan Datuk Maharaja Lela

2 min read

Pencapaian luar biasa Syamsul Yusof menerusi karya filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan masih menjadi sebutan ramai hingga kini.

Penonton berbangga dengan filem epik tersebut yang mengangkat perjuangan tokoh sejarah Tanah Melayu ketika menentang penjajah.

Selepas Mat Kilau, ramai peminat tertunggu-tunggu apakah karya seterusnya yang bakal dihasilkan anak kepada pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam ini.

Ada yang beranggapan sekuel Mat Kilau akan muncul. Bagaimanapun, Syamsul mendedahkan kisah pahlawan Melayu, Datuk Maharaja Lela pula bakal dibawa ke layar perak.

Syamsul mencipta sejarah perfileman tempatan dengan kejayaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan. (Foto: syamsulyusoffilm- Instagram)

Menurutnya, kisah Datuk Maharaja Lela dianggap suatu yang luar biasa dan sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengetahui kisah tokoh sejarah negara itu dengan lebih lanjut.

“Kerana kisah tokoh pejuang Islam yang satu ini, penuh dengan darah dan air mata. Penjajah J.W.W Birch ini maha kejam pada orang Melayu suatu ketika dahulu. Maha kejam. Ini FAKTA,” katanya dalam satu status di Instagramnya, hari ini.

Hasrat Syamsul untuk menghasilkan filem terbaharu kali ini bukan hanya cakap kosong. Dia sendiri memberi pesanan pada pasukan produksinya agar bersedia untuk memulakan penggambaran.

“Saya berjanji, kali ini ia akan menjadi filem epik,” katanya.

Datuk Maharaja Lela antara tokoh sejarah yang dikenali ramai kerana menentang penjajah British. (Foto: Orang Perak)

Mengikut sejarah Tanah Melayu, Datuk Maharaja Lela atau nama sebenarnya, Pandak Lam Maharaja Lela Maulud merupakan salah seorang pembesar kelapan Perak yang menentang kerajaan British. Namanya terpahat dalam sejarah apabila beliau bersama Datuk Sagor terbabit dalam pembunuhan residen British pertama di Perak iaitu James Wheller Woodfird Birch atau lebih dikenali sebagai J.W.W Birch di Pasir Salak, Perak pada 2 November 1875.

Penghujung kisah hidup Datuk Maharaja Lela apabila beliau bersama Datuk Sagor dihukum gantung sampai mati pada 20 Januari 1877 di Taiping, Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *