Selagi Ada Karya Terbaharu Pak Long Zam
1 min read
Nama Pak Long Zam bukanlah sehebat nama Rashid Sibir mahupun Datuk Zulkifli M Osman.
Namun, perjuangannya dalam mengangkat karya seni kepada khalayak sentiasa membara dan tanpa mengira putus asa. Perkembangan terbaharu, pengarah muda berbakat besar ini menghasilkan sebuah filem pendek yang membawa kisah pengorbanan seorang ibu.
Pak Long Zam yang merupakan ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) berkata, dia berhasrat menjalankan projek filem pendek berdasarkan kisah sebenar yang menceritakan tema pengorbanan seorang ibu dalam membesarkan anak-anak.
“Inspirasi saya datang daripada kisah kehidupan sebenar yang penuh cabaran dan kecekalan. Saya mahu menyentuh jiwa penonton agar lebih menghargai pengorbanan seorang ibu,” katanya kepada Kafebuzz.

Jelasnya, filem pendek berjudul Selagi Ada, bukan sahaja mengetengahkan kasih sayang dan ketabahan seorang ibu tetapi menghargai peranan wanita dalam kehidupan.
Berdasarkan pelbagai pengalaman dalam pengarahan filem dan drama yang ditimba sebelum ini serta dedikasi tinggi berkarya, Pak Long Zam atau nama sebenar Mohd Asrul Nizam Mohd Yusof berharap karyanya memberi impak besar kepada masyarakat. Pak Long sebelum ini pernah mengarah filem Kuartet Pangi dan Misteri Hutan Tok Kepak serta supertele, Canting.
“Pemasaran dan promosi akan dikendalikan oleh Kulim Media untuk memastikan capaian lebih luas. Jangkaan penggambaran akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri, dengan harapan hasilnya memberi kesedaran mendalam kepada penonton mengenai nilai kemanusiaan yang tinggi,” katanya.
Projek filem pendek ini merupakan satu lagi pencapaian terbaik Pak Long Zam sebagai pengarah filem berbakat dalam terus mencipta nama selepas menerima Dana Kreatif Perak@PORT kali ke-6 bagi tahun 2024/2025, dengan tambahan dana dari Win Rich Legacy.

- Kafebuzz.my

