03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Sejarah teknologi digital filem Melayu, arkib filem Malaysia terus jadi persoalan

6 min read

Mungkin tidak ramai yang tahu Malaysia meraikan sambutan ‘World Day For Audiovisual Heritage 2021’ yang berjaya dianjurkan sekali lagi buat kali ketiga oleh World Heritage Moving Image Centre (WHMIC) pada tahun ini.

Di sebalik cabaran pandemik COVID-19 yang masih belum berkesudahan, usaha WHMIC ini suatu yang patut dipuji dalam mengangkat khazanah dan karya tempatan ke dalam format digital dan dipulihara untuk tatapan generasi akan datang.

Pembikin filem iaitu Isazaly Isa dari Kino-i Pictures Sdn Bhd dalam ucaptama acara tersebut berkata, perubahan teknologi terus berlaku dalam industri perfileman dan penerbitan TV di Malaysia termasuk seluruh Asia Tenggara di mana sejarah filem Malaysia bermula di Singapura seawal tahun 1933 dan era kegemilangan filem Melayu (‘The Golden Age of Malay Cinema’) pada tahun berikutnya dengan tertubuh Studio Jalan Ampas hingga kemuncak pada tahun 1950-an hingga 1960-an dengan lebih 160 filem diterbitkan dalam tempoh 2 dekad.

“Sehingga ke hari ini kita masih lagi dapat menonton filem-filem pada era kegemilangan filem Melayu ini di TV kerana setiap filem tersebut yang asal dirakam dalam bentuk seluloid 35 mm, hitam putih disimpan dengan baik di dalam pita video seperti Digital Betacam dari awal 1980-an.

“Namun, teknologi ini berkesan pada zaman analog yang lalu kerana teknologi pada masa itu hanya mampu menyimpan resolusi Standard Definition (SD). Pada tahun 2000, era digital muncul dan kami serta beberapa bekas graduan Akademi Filem Malaysia menerbitkan filem separa digital berjudul Lips To Lips yang ditulis dan diarahkan Amir Muhammad,” katanya dalam video yang disiarkan menerusi Facebook, World Heritage Moving Image Centre, baru-baru ini.

Menurutnya, pada tahun sama filem perang kos tinggi dalam lingkungan kos sebanyak RM8 juta iaitu Leftenan Adnan diterbitkan Paradigm Films (ACE Motion Pictures) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diarahkan Aziz M. Osman.

“Revolusi digital ketika itu membenarkan pembikin filem seperti Amir untuk membuat filem dengan kos rendah sebanyak RM60,000.

“Namun, ‘content’ yang menarik membawa filem tersebut (Lips To Lips) menjelajah ke 14 festival filem antarabangsa termasuk Festival Filem Hawaii pada tahun 2001,” katanya.

Ujarnya, dalam sebuah buku berjudul ‘Malaysian Cinema In A Bottle’ ditulis oleh Hassan Abd Muthalib pada tahun 2013 ada menyebut ‘The Little Cinema of Malaysia’ gelaran diberikan kepada kumpulan pembikin filem seperti Isazaly dan Amir termasuk Osman Ali menerusi filem Bukak Api atas pencapaian karya masing-masing.

“Kami menjadi sebahagian sejarah filem Malaysia yang memulakan lonjakkan digital ketika itu dan ramai pembikin filem lain turut serta dan berjinak dengan teknologi MiniDV sebagai alat penceritaan berbanding seluloid yang tidak tercapai kos pembelanjaannya untuk membuat filem kecil yang berjiwa besar pada masa itu.

“MiniDV pada masa itu mempunyai resolusi sama dengan pita analog yang diguna pakai di stesen TV Malaysia iaitu SD tetapi atur kerja pasca produksi dalam bentuk digital iaitu menggunakan komputer untuk menyiapkan tugasan suntingan.

“Pada tahun sama filem ‘Lips to Lips’ diterbitkan, filem ‘Dancer in the Dark‘ arahan Lars Von Trier menang anugerah Palme d’Or di Festival Filem Cannes pada tahun 2000, semangat kami semakin teruja kerana filem luar negara juga mendapat pengiktirafan dengan menggunakan teknologi sama ketika itu,” katanya.

Jelasnya, era revolusi digital menjadi lebih diiktiraf apabila tiba revolusi Definisi Tinggi (HD) di mana resolusi HD lebih tinggi dibandingkan SD dan MiniDV secara langsung mempunyai kualiti lebih hebat.

“Dengan teknologi HD, rakaman masih dalam pita video tetapi harga tidak mampu dimiliki individu yang mahu berkarya dengan kos rendah.

“Namun, teknologi HD menjadi satu standard sinema Malaysia pada pertengahan tahun 2000 di mana banyak filem Malaysia dirakam menggunakan teknologi ini tetapi harus dialih semula dari digital kepada format filem 35 mm yang dipanggil proses filem ‘recording’ atau Kine Transfer kerana pawagam pada masa itu masih menggunakan projektor filem,” katanya.

Sambungnya, revolusi ini menjejaskan penggunaan seluloid dan ia tidak lagi digunakan sebagai bahan rakaman utama manakala kerja pascaproduksi menjadi lebih mudah dengan teknologi komputer dengan lebih canggih.

“Format HD mula diguna pakai setiap stesen TV hingga hari ini. Pada era digital 4K sekarang, ia memudahkan pengkarya menghasilkan filem yang lebih berkualiti secara teknikal.

“Pawagam sudah bersedia dengan projektor canggih yang tidak perlu lagi proses Kine Transfer. Namun, bahan digital bukanlah suatu yang fizikal yang boleh disentuh atau dilihat tanpa penggunaan komputer,” katanya.

Filem epik, Leftenan Adnan berjaya dilakukan proses digital format 4K.

Sejarah restorasi filem Leftenan Adnan

Apa yang menimbulkan persoalan iaitu data filem hilang, ‘corrupted’ dan kerosakkan pada cakera keras atau ‘hard disk’ amat membimbangkan.

“Adakah teknologi digital ini sebenarnya baik untuk kita? adakah kita sudah bersedia mempunyai infrastruktur menyimpan khazanah kita untuk 20 hingga 50 tahun akan datang? atau mungkin kita akan hilang khazanah dalam 1 abad dan membuat 1 lompongan masa pada abad akan datang, sekarang adalah masa kita fikirkan perkara sejenak,” katanya.

Isazaly mengakui pernah mengikuti satu bengkel restorasi filem iaitu ‘Film Restoration School Asia‘ di Singapura pada tahun 2013 yang dijalankan oleh National Museum Singapore yang di selenggara beberapa pakar restorasi filem iaitu l’immagine Ritrovata dari Itali di mana salah seorang pengasas ialah pengarah filem Hollywood terkenal, Martin Scorsease.

Dia memberitahu berkesempatan belajar proses restorasi filem ke dalam bentuk digital secara praktikal dalam bengkel tersebut.

“Selepas pulang ke Malaysia, sebarang perkara mengenai restorasi filem atau simpanan filem belum lagi diperkatakan atau dibahaskan mana-mana pihak tertentu dan juga dalam industri filem kita sendiri kerana masing-masing sibuk berkarya demi meneruskan karier masing-masing.

“Lewat tahun 2019, Amir Muhammad dihubungi Asian Film Archive untuk bantu arkibkan karyanya, ‘Lips to Lips’ sebagai salah satu bahan sejarah filem Asia. Filem tersebut dinaik taraf ke format HD dan sekarang filem itu disimpan rapi di arkib Asian Film Archive bagi tontonan generasi akan datang,” katanya.

Tambahnya, pada awal tahun 2020 sebelum pandemik COVID-19 bermula, pengarah filem terkenal, Aziz M Osman menghubunginya berhubung filem Leftenan Adnan.

“Dia mengesan negatif filem tersebut di Chennai, India di mana adunan bunyi akhir dibuat di sana pada tahun 2000 dan negatif filem tersebut masih tersimpan rapi.

“Saya menghantar emel ke makmal di sana untuk tugasan filem ‘scanning’ ke format 4K untuk dibawa pulang ke Malaysia dengan selamat. Beliau memberi sepenuh kepercayaan pada saya untuk melakukan restorasi filem tersebut dalam bentuk 4K.

“Akhirnya, saya dapat menjalankan kerja restorasi sebenar sebuah filem dalam bentuk 35 milimeter ke dalam bentuk digital setelah hampir 6 tahun tidak dapat mempraktikkannya,” katanya.

Jelasnya, sebaik kotak çakera keras seberat 5 kilogram tiba di Malaysia, COVID-19 melanda hingga memaksa 12 ahli kumpulannya yang dikerah membuat kerja restorasi tersebut bekerja dari rumah.

“Bermula Mac 2020 dan 150 hari kemudian, segala hasil kerja kami dapat dilihat semula di sebuah panggung yang ditempah khas. Kami semua teruja dengan hasil kerja sendiri dan setiap penat lelah hilang selepas selesai menonton dan mendapat kata positif daripada pengarah tersohor itu sendiri.

“Sebuah filem berusia lebih 20 tahun dapat ditonton semula pada 30 Ogos 2020 di Astro First dan filem itu juga boleh ditonton di platform Netflix.

“Sebuah restorasi bukan sekadar mencantikkan semula atau mengubah sesuatu produk yang berbeza daripada asal. Restorasi sebenarnya harus menghormati karya asal sesebuah filem tersebut supaya dapat dinaik taraf hasil ke teknologi terkini dan dapat disimpan sebagai bahan sejarah serta dijadikan bahan rujukan pada penggiat seni pada masa akan datang,” katanya.

Isazaly juga melontarkan persoalan apabila filem seluloid sudah terbukti wujud lebih 100 tahun, adakah bahan digital boleh wujud dalam tempoh yang sama.

“Bagaimana kita menyimpan khazanah atau bahan sejarah di abad ini untuk jangka masa yang lama. Inilah yang harus kita fikirkan sekarang sebelum khazanah kita hilang kerana kurang pengetahuan tentang dunia digital dan apakah yang boleh diperbaiki dari segi infrastruktur, kepakaran dan ‘passion’ kita tentang budaya dan khazanah,” katanya.

Pada acara sambutan tersebut yang mendapat sokongan UNESCO Memory of The World Asia Pasifik (MOWCAP), Asia Culture Centre Korea Selatan (ACC) dan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM), satu tayangan khas diadakan iaitu filem Anak Sarawak yang menjadi salah satu kajian kes yang memperlihatkan keperluan dan kepentingan pengarkiban filem di negara ini.

Filem tersebut diterbitkan pada tahun 1989 arahan Datuk Rahim Razali yang diterbitkan ASA XX Filem dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak.

Menariknya, WHMIC juga membawakan sesi webinar berjudul ‘Film Archiving in Southeast Asia’ melibatkan panel dari organisasi arkib beberapa buah negara sekitar Asia Tenggara iaitu Indonesia, Myanmar dan Laos membincangkan isu, permasalahan dan situasi pengarkiban, pemuliharaan serta aksesibiliti audiovisual di rantau ini.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *