02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Sejarah singkap perjalanan 30 tahun Siti Nurhaliza

2 min read

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil dengan single terbaharu, Sejarah.

Pelancaran secara rasmi single tersebut berlangsung di restoran The Roomah, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, semalam. Lagu Sejarah mempunyai signifikan tersendiri dalam karier Siti Nurhaliza yang bakal mencecah usia 30 tahun berkecimpung di dalam industri muzik. Karya terbaharu ini merupakan gandingan Erwin Gutawa bersama anak perempuannya, Gita Gutawa selaku penulis lirik.

Siti Nurhaliza melancarkan single terbaharu, Sejarah di Kuala Lumpur, semalam. (Foto: Universal Music Group)

Menurut Erwin, lagu Sejarah diciptakan khusus buat Siti Nurhaliza dengan membayangkan keindahan nyanyian dan personaliti yang ada pada penyanyi tersebut. Dia meminta Gita menulis lirik berkisarkan seseorang yang kaya dengan pengalaman hidup dan memaknakan kesyukuran di dalam setiap bait kata yang diungkapkan.

Lebih istimewa, Erwin menggunakan khidmat Czech Symphony Orchestra untuk mengiringi susunan muzik yang digarap indah khusus untuk Siti Nurhaliza. Lagu Sejarah merupakan buah tangan istimewa Siti Nurhaliza sebelum menutup tirai 2024 setelah sibuk mengadakan beberapa siri konsert sepanjang tahun ini.

Siti Nurhaliza bakal mencapai pengalaman seni selama 30 tahun. (Foto: Universal Music Group)

Bagi Siti, Sejarah merupakan sebuah lagu yang sangat istimewa apabila beliau kembali berganding bahu dengan Erwin dalam sebuah lagu. Beliau sendiri meminta Erwin menghasilkan sebuah lagu khusus yang menceritakan tentang perjalanan seninya.

“Saya sangat berterima kasih kepada Erwin Gutawa yang sudi menghasilkan sebuah lagu yang sangat menyentuh emosi saya apabila menyanyikannya. Lagu ini seperti saya berada dalam semua fasa perjalanan seni dan satu persatu memori terbayang sewaktu menyampaikannya,” katanya.

Siti juga menyatakan penghargaan kepada Aubrey Suwito yang membantu proses rakaman vokal lagu ini di Kuala Lumpur. Single terbitan SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Sdn Bhd ini boleh distrim dan dilanggan di seluruh pelantar digital sejak 14 November 2024.

Siti Nurhaliza pada Majlis Pelancaran Single Sejarah berlangsung di The Roomah, Solaris Dutamas, semalam. (Foto: Universal Music Group)

Pada majlis sama, Siti turut meraikan pihak media yang selama ini menjadi tulang belakang di atas kejayaannya sejak bergelar artis. Bagi Siti, pihak media sudah menjadi sahabat dan keluarga yang banyak membantu memperkenalkan beliau kepada masyarakat dan peminat.

Bagi menghargai kerjasama pihak media selama ini, Siti telah mengadakan acara khas sesi cabutan bertuah di samping semua yang hadir menerima cenderahati khas.

Selain itu, Universal Music turut menyampaikan plak penghargaan kepada Siti atas penganugerahan gelaran biduanita negara dan pelancaran single Sejarah.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *