“Sebenarnya sebagai pembikin filem, kita buat apa yang boleh” – Datuk Yusof Haslam bersama Syafiq bawa kisah sisi gelap polis dalam Sheriff
3 min read
Pengalaman hampir 40 tahun dalam bidang penerbitan drama dan filem memberi kelebihan pada Datuk Yusof Haslam terus berkarya.
Produser Skop Productions Sdn Bhd ini mengakui sejak menerbitkan drama televisyen dari tahun 1985, cerita negatif mengenai polis tidak dibenarkan.
“Setiap drama atau filem berkaitan kepolisan kena hantar ke Bukit Aman, mereka akan menilai setiap skrip. Dari pengalaman saya dulu memang tak boleh begini, memang jika menunjukkan sisi gelap mereka (PDRM) takkan bagi,” katanya pada sidang media Malam Gala filem Sheriff di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau pernah menyelitkan isu rasuah membabitkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi filem Gerak Khas The Movie 2.
“Tujuan bukan nak merendahkan pasukan polis dalam cerita tersebut. Cerita menarik, saya buat dengan idea kawan tapi disimpan di Bukit Aman dekat sebulan kerana ada isu sensitif.
“Pengawai kata tak boleh dan kena ubah, jadi saya ubah dan jadikan ia sebagai undercover. Sebenarnya sebagai pembikin filem, kita buat apa yang boleh,” katanya.

Ujarnya, beliau sering mendapat komen dan pertanyaan daripada penonton termasuk pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mengenai cerita polis yang disampaikan menerusi drama dan filem.
“Saya dapat teguran ramai termasuk ketika ke IPT, pelajar bertanya kenapa semua filem atau drama tunjuk baik-baik saja mengenai polis, tiada sisi gelap.
“Saya kata sebagai pembikin drama atau filem, kita buat apa yang dibolehkan. Kalau undang-undang kata tak boleh, buat juga maka tidak dapat tayang drama atau filem itu sebab kita perlu dapatkan kelulusan dan panduan,” katanya.

Akuinya, masa sudah berubah untuk menampilkan realiti di sebalik kisah polis pada zaman sekarang.
“Syafiq mula dengan filem KL Special Force juga sebenarnya ada tunjukan sisi gelap. Kami pernah bincang dengan pegawai, Syafiq merajuk kata ‘tak payah buat filem la Pa’ dan kemudian bangun, saya kata kita bincang dan dia patah balik.
“Macam filem KL Special Force, ia ada sisi gelap tapi secara rambang, tak nampak secara mendalam,” katanya.
Tambahnya, beliau berkongsi idea asal filem Sheriff dengan Syafiq yang kemudian mengolahkannya bersama rakannya, Nazifdin Nasrudin.
“Lepas dia buat saya tengok, wah ni bahaya, saya bincang dan tengok. Ada yang saya ‘trim’ sikit lepas tu saya hantar ke Bukit Aman dan pegawai beritahu intipati cerita atau moral filem ini bagus dan tinggi.
“Filem ini ada refleksi tentang kehidupan hari ini tentang apa yang berlaku. Kata pegawai tersebut, kita perlu filem sebegini dan dia cuba yakinkan pegawai serta menyatakan masa sudah berubah.
“Sekarang ini jika nak sorok sisi gelap dah tak logik sebab kita sekarang ada YouTube, TikTok dan media sosial lain. Itu semua satu pengajaran pada saya dan saya berterima kasih kepada PDRM yang mengambil berat perkara ini, kita juga minta bantuan Unit Tindakan Khas (UTK), alhamdulillah ada keterbukaan di situ,” katanya.

Baginya, industri perfileman tanah air perlu satu anjakan paradigma jika mahukan suatu perubahan.
“Jika kita sorok satu sisi, kita tidak berlaku jujur pada kehidupan. Apabila siap filem ini dan dihantar ke Lembaga Penapisan Filem (LPF), ada juga pegawai Bukit Aman yang sudah bersara duduk di bahagian penapisan dan mereka juga bersetuju bahawa masa sudah berubah.
“Jadi untuk memuaskan hati semua pihak, dia sendiri mencadangkan panggil pegawai-pegawai lain di Bukit Aman termasuk Pegawai Perhubungan Awam (PRO), Cawangan Khas (SB) dan Narkotik, minta pandangan setiap seorang.
“Alhamdulillah semuanya positif dan saya kata masa sudah berubah dan filem ini bukan hanya tunjuk sisi gelap tapi ianya bersebab dan ada alasan-alasan kenapa peristiwa itu berlaku dan saya ucap terima kasih pada PDRM dan mereka yang turut membantu filem ini, Bukit Aman bahagian PRO dan UTK,” katanya.

Yusof mengakui filem terbaharu ini membawa subjek yang sangat berat tetapi beliau mengucap terima kasih pada Syafiq.
“Saya pun terus terang, saya tengok filem ini dari segi ‘story telling’ dan persembahannya semua, zaman saya zaman 1990-an dah lama, masa saya buat drama, Syafiq belum lahir tapi apa sekalipun alhamdulillah bagi saya kita perlu satu anjakan paradigma dalam industri filem kita.
“Syafiq juga sudah ada suatu perubahan yang dia buat. Saya bersyukur, mudah-mudahan apa yang diusahakan ini diberkati Allah SWT. Segala yang baik daripada Allah SWT dan segala kekurangan daripada pihak kita,” katanya.
Filem Sheriff lakonan utama Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz sedang ditayangkan di pawagam bermula 18 April lalu.
- Kafebuzz.my

