03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Search masih bertenaga! Pengembaraan indah bersama peminat di puncak gunung

3 min read

Di sebalik kedinginan di puncak gunung, band rock tersohor Search tampil menghangatkan suasana.

Ketika tumpuan ramai terarah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu, pada tarikh sama, Konsert Search Fantasia Bulan Salju tetap mendapat sambutan apatah lagi lokasi penganjurannya di Genting Highlands, Pahang dilihat cukup canggung buat peminat.

Lontaran vokal Amy masih hebat dan bertenaga. (Foto: MIC Entertainment Group)

Konsert anjuran MIC Entertainment Group itu yang berlangsung di Arena All Star berjaya menarik 4,000 peminat setia kumpulan rock legenda negara itu untuk bersama-sama menikmati malam yang cukup indah.

Kehadiran anggota Search kali ini diketuai Amy selaku vokalis, Hillary Ang (gitar), Nasir (bass) dan Man Kidal (gitar) membuktikan mereka masih bertenaga dan paling penting kekal relevan beraksi sehingga hari ini.

Persembahan Search cukup gah dan mengasyikan. (Foto: MIC Entertainment Group)

Konsert Search Fantasia Bulan Salju yang bermula tepat jam 8.45 malam itu terlebih dahulu disajikan dengan ‘opening’ muzik padang pasir yang menggambarkan pengembaraan Search bersama peminat.

Lagu Bencana menjadi penanda aras dalam menyatukan jiwa peminat agar terus layan persembahan Search hingga ke lagu terakhir. Set pertama seakan menguji keupayaan Arthur Kam yang berada di posisi dram menggalas tugas yang di amanahkan.

Tanpa banyak bicara Search terus memukau khalayak dengan lagu Derap Komando dan Langit dan Bumi. Amy atau nama sebenar Datuk Suhaimi Abdul Rahman tampil dengan suit merah yang tampak cukup bergaya, versatil malah lebih bertenaga.

Peminat menyanyi bersama-sama Amy menerusi Konsert Search Fantasia Bulan Salju yang berlangsung di Genting Highlands, baru-baru ini. (Foto: MIC Entertainment Group)

Suasana bertambah hangat apabila lagu Menawan Rasa dan Gelora Cinta dipersembahkan sekaligus membuatkan perasaan hadirin terus dibuai nostalgia bersama Search. Ruang konsert kemudiannya bergema dengan lagu Honky Tong Kosong dan Fantasia Bulan Madu di mana peminat turut menyanyi bersama-sama.

Kehebatan Search dalam persembahan pentas memang tiada tandingan. Mereka cukup bijak bermain dengan situasi dan perasaan. Lebih menarik apabila ‘salji’ mula bergentayangan menyelimuti khalayak. Pemilihan lagu-lagu ‘slow rock’ seperti Rozana, Laila Nama Mu Teratas dan Nigina yang dipersembahkan pada malam itu cukup membuai perasaan peminat.

Aksi luar biasa Amy di atas pentas. (Foto: MIC Entertainment Group)

Suasana konsert bergema dengan paduan vokal Amy diiringi peminat menyanyi bersama. Apa yang jelas, peminat yang hadir rata-ratanya cukup bersedia dengan seleksi lagu-lagu Search yang sentiasa meniti di bibir mereka.

Tidak ketinggalan, lagu Setelah Hujan, Meniti Titian Usang, Gadisku dan Kejora dipersembahkan secara medley. Tidak perlu lagu yang berentak keras untuk terus ‘memaku’ penonton. Inilah pengembaraan baru yang diterjemahkan Search menerusi Konsert Fantasia Bulan Salju.

Persembahan bertenaga daripada Hillary. (Foto: MIC Entertainment Group)

Sudah tentu, Isabella antara lagu wajib yang harus dipersembahkan kerana lagu ini juga pernah menjadi judul filem yang pernah menampilkan Search bersama Amy sebagai pelakon utama.

Set persembahan yang cukup ‘keras’ seakan memberi kejutan buat Naimi Daini sebaliknya, gadis yang berusia 17 tahun ini cukup konsisten dengan dram yang menjadi nyawanya. Kemunculan Naimi pastinya menjadi tumpuan peminat Search meskipun ini adalah konsert berskala besar kedua buatnya selepas Nusafest.

Diari Habil Qabil, Yin & Yang dan Gothic Malam Edan menjadi ‘battle’ yang cukup sengit menyaksikan Man Kidal, Nasir, Amy, Hillary dan Rie Tsuji yang berada di posisi piano begitu komited dengan instrumen masing-masing.

Seramai 4,000 peminat setia sanggup hadir meyaksikan Konsert Search Fantasia Bulan Salju. (Foto: MIC Entertainment Group)

Search yang sudah menakluk hati peminat mereka yang rata-rata sudah berusia 40-an, 50-an dan 60-an tidak perlu terlalu menonjolkan aksi luar biasa kerana mereka mempunyai kredibiliti dan tenaga yang cukup pesona seperti mana Rolling Stones, Pink Floyd dan sebagainya yang ada aura tersendiri.

Usai ‘pertempuran’, Cakap Memang Murah, Fenomena, Paranoid, Isi Atau Kulit dan Pelesit Kota antara lagu yang menghiasi ‘encore’ Konsert Search Fantasia Bulan Salju.

Tirai konsert dilabuhkan dengan lagu Pawana yang dipetik daripada album Fenomena sekaligus menjadikan Konsert Search Fantasia Bulan Salju antara persembahan berperstij selain melakar momen indah buat Search yang menjadi kumpulan pertama yang mengadakan konsert di puncak Genting Highlands.

Kenangan indah Search bersama-sama peminat. (Foto: MIC Entertainment Group)

Sistem bunyi yang cukup ‘mesra’ telinga pada malam itu dibantu penataan lampu yang cukup indah sehingga pandangan mata melenyapkan rasa lamanya konsert yang berdurasi 180 minit itu apatah lagi dengan hangatnya lagu-lagu yang di persembahkan.

Konsert Fantasia Bulan Salju pada malam itu dapat diterjemahkan sebagai sebuah revolusi empayar Search bersama peminat setia.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *