02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Sanggup beratur panjang demi Pameran Hantu Filem, pengunjung teruja menang cabutan bertuah FDAM

2 min read

Ramai sanggup beratur sebab nak tengok hantu.

Memang meriah suasana di sekitar Pameran Hantu Filem anjuran Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang berlangsung sempena program Ekspresi@FINAS di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Kelang, Selangor, semalam.

Acara yang terbuka pada semua ini memberi peluang pada peminat filem hantu dan genre seram untuk datang merasai sendiri pengalaman melihat hantu yang pernah dilakonkan dalam filem-filem tempatan.

Jika Hollywood berbangga dengan hantu Halloween mereka, industri perfileman tempatan juga hebat dengan hantu versi pocong, pontianak dan toyol. Bukan selalu peminat dapat tengok pameran hantu apatah lagi mengimbau kenangan zaman kanak-kanak masuk rumah hantu.

Pengunjung berpusu-pusu masuk ke Pameran Hantu Filem anjuran FDAM. (Foto: FDAM)

Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, sambutan yang diterima daripada pengunjung semalam cukup menggalakkan dan di kesempatan cuti umum sempena Deepavali, ramai pengunjung termasuk ibu bapa membawa anak-anak datang.

“Sambutan menggalakkan tanpa henti daripada pengunjung yang hadir. Ramai yang berminat datang menyaksikan Pameran Hantu Filem yang jarang diadakan di tempat lain,” katanya kepada Kafebuzz.

Mat London (dua dari kiri) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung bertuah. (Foto: FDAM)

Mat London yang juga Ahli Perbadanan FINAS turut menyatakan penghargaan kepada FINAS yang menganjurkan program Ekspresi@FINAS selama dua hari bermula semalam dan berakhir hari ini. Pada sesi cabutan bertuah semalam, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkesempatan menyampaikan hadiah kepada pengunjung bertuah.

Selain Pameran Hantu Filem yang mengujakan pengunjung, FDAM juga menjual pelbagai barangan eksklusif persatuan hiburan itu seperti baju T, topi, tengkolok, kole dan beg galas. Tambah menarik, reruai FDAM juga menjual buku-buku yang dihasilkan ahli sendiri antaranya buku autobiografi, Mawi Dalam Lautan Manusia tulisan Mawi, Wasitah (Datuk Abdul Rahim Awang), Sayang Salmah (Dr Mahadi J Murat) dan Angah Dicipta Tidak Sempurna Tapi Teristimewa (Mohamad Napi Dollah).

Koleksi buku tulisan ahli FDAM turut dijual di reruai FDAM. (Foto: FDAM)

Acara Pameran Hantu Filem, reruai FDAM dan Ekspresi@FINAS kali ini berlangsung di Kompleks Studio Merdeka, FINAS dan hari ini merupakan hari terakhir bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

Dr Md Nasir (tengah) bersama dua pengunjung bertuah, Mohamad Napi Dollah dan Bronko. (Foto: FDAM)
Pengunjung turut membawa anak-anak masuk ke Pameran Hantu Filem. (Foto: FDAM)
FDAM menjual pelbagai barangan eksklusif seperti baju T, topi, tengkolok, kole dan beg galas. (Foto: FDAM)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *