Riana jaga stamina demi The Sacred Riana 2: Bloody Mary
3 min read
Ramai beranggapan Riana itu menyeramkan.
Gadis berusia 30 tahun ini mempunyai karakter yang unik pada lontaran suara dan penampilannya. Selepas mencipta populariti sebagai juara program realiti, Asia’s Got Talent musim kedua pada tahun 2017, Riana mempertaruhkan bakatnya di layar perak.
Perkembangan terbaharu, Riana muncul dengan filem sekuelnya, The Sacred Riana 2: Bloody Mary yang membawakan genre seram.
Riana yang berkesempatan ditemu bual secara langsung bersama media Malaysia menerusi persidangan video baru-baru ini mengakui mahu menunjukkan sisi lain karakter dirinya yang bersekolah, mempunyai kawan dan menceritakan kehidupan seharian.
“Filem ini lebih mengutamakan ‘the universe’ The Sacred Riana, jadi perbezaaan mungkin dilihat daripada wujud nilai-nilai persahabatan dan dunia Riana,” katanya dalam intonasi percakapan tersusun dengan wajah ditutupi rambut panjang mengurai di sebelah kiri.

Melihat karakter yang pernah dipertontonkan dalam persembahan pentas sebelum ini, Riana menjawab dia tidak mahu mencuba karakter lain semata-mata mencabar diri sebagai pelakon.
“Filem kedua ini lebih ditekankan pada sisi lain Riana yang belum pernah dilihat penonton sebelumnya,” katanya.
Bagi Riana, cabaran sebenar dalam filem terbaharu ini berbeza dengan filem The Sacred Riana: Beginning ditayangkan tiga tahun lalu.
“Cabaran sebenarnya tidak begitu, berbeza dengan filem sebelumnya iaitu cabaran terbesar adalah menjaga stamina agar terus tetap terjaga kerana pada saat penggambaran filem kedua saya juga harus mempersiapkan diri untuk ‘live show’ di America’s Got Talent waktu itu,” katanya.

Bagi Produser Bersekutu, Eska Jabat Laksono, kelainan filem kali ini lebih kepada aspek imej janaan komputer (CGI) selain lebih banyak lokasi penggambaran termasuk kisah persahabatan dan percintaan yang mahu disampaikan oleh pengarah, Billy Christian.
“Riana tidak seram tapi lebih pada misteri. Kita tidak pernah mengarahkan dia menjadi seram tetapi dia menjadi diri sendiri dan hubungannya dengan Riani sudah menjadi misteri,” jelasnya.

Ujarnya, dalam mengabungkan karakter sebenar Riana dengan watak yang dibawa, dia hanya berkomunikasi dengan pengarah.
“Dari arahan sutradara dia bergabung dengan pelakon lain. Jadi untuk Riana ini memang ada hal yang khusus pada ‘treatment’ dan hanya berkomunikasi dengan sutradara,” katanya.
Eska mengakui lokasi penggambaran yang digambarkan sebagai sebuah asrama pelajar merupakan bangunan yang dipercayai berusia beratus tahun berkemungkinan sejak dari zaman penjajah Belanda dan mempunyai elemen mistik.

Desy Cahyaningtyas yang juga Produser Bersekutu filem ini berpandangan filem kali ini lebih menarik kerana kisah Riana yang mempunyai kehidupan sosial bersama rakan-rakannya.
“Kita memperlihatkan Riana itu serius, kali ini Riana bertemu dengan Riani lagi. Penggambaran dibuat pada tahun 2018 dan pada masa itu, Riana juga harus ambil America’s Got Talent sebelum pandemik, lalu filem ini ditangguhkan hingga pejabat dibuka semula agar ia lebih mudah dinikmati,” katanya.
Meskipun subjek hantu itu seolah ditiru daripada hantu Barat dari Hollywood bukan hantu yang menonjolkan versi dari Indonesia seperti pontianak atau pocong, Desy menjelaskan cerita filem The Sacred Riana 2: Bloody Mary ini dibangunkan oleh kumpulan produksi sendiri.
“Ceritanya lebih datang daripada sutradara dan pasukan produksi. Ada ‘script reading’ dan dari cerita itu ada sinopsis kemudian skrip sudah okay baru sesi latihan dilakukan termasuk Riana sendiri,” katanya.

Tambah Ninin Musa selaku Produser Bersama, pihaknya mempunyai perancangan untuk menghasilkan subjek hantu berbeza memandangkan Riana mempunyai sebuah kisah hantu yang ada di Asia mungkin ada di Malaysia atau di Indonesia.
“Pasti ada, perancangan selanjutnya kita masuk susuk-susuk hantu itu,” jelasnya.
Riana mengakui dia tidak mengalami sebarang gangguan makhluk halus ketika penggambaran filem keduanya ini tetapi ianya berlaku pada pelakon lain. Di sebalik karakter Riana sama ada di pentas atau filem, dia tidak mahu berkongsi kisah peribadi kehidupan realitinya.
“Biarkan kehidupan peribadi saya tidak diganggu dalam keadaan apapun.
“Harapannya adalah para penonton di Malaysia dapat menikmati susuk hantu yang ada di dalam cerita saya kerana biasanya hantu itu sudah dikenal, untuk kali ini Bloody Mary berbeza,” katanya.
Filem The Sacred Riana 2: Bloody Mary yang dibawakan Antenna Entertainments Sdn Bhd untuk tayangan di sini akan menemui penonton di pawagam bermula 27 Oktober 2022.

- Kafebuzz.my



