02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Raih YouTube Silver Button, Saradha Sivalingam kini pengedar filem Malaysia pertama Amazon Prime Video kuasai platform digital global

4 min read

Pencapaian 200 filem yang diedarkan ke pawagam seluruh dunia bagi tempoh 12 tahun termasuk 40 filem pada tahun 2021 merupakan kejayaan manis diraih syarikat produksi KS Movie Sdn Bhd.

Pengarah KS Movie Sdn Bhd, Saradha Sivalingam berkata, pengedaran filem ketika pandemik COVID-19 memberikan cabaran cukup besar padanya dalam meneruskan bisnes dalam industri perfileman global.

“Semasa pandemik menyaksikan bisnes sinema turut terkesan dengan teruk tetapi kami dapat mengatasinya. Dalam usaha menanggung kos produksi, kami bekerja keras mengedar pelbagai genre filem ke seluruh dunia menerusi platform berbeza yang mencabar kesabaran dan faktor
masa,” katanya dalam satu kenyataan media.

Saradha bersama pelakon India ketika tayangan khas filem ‘Veetla Vishesham’ di Malaysia pada tahun 2022. (Foto: Saradha Sivalingam)

Saradha yang juga pengarah filem mengakui ada filem yang dikategori sebagai filem yang
pernah mendapat kutipan pecah panggung (box office) tetapi tidak mendapat sambutan positif penonton kerana sebab lain yang tidak dijangka.

“Pertama sekali, kami perlu memilih skrip yang menarik. Bagi setiap filem yang dibeli akan diedarkan ke beberapa negara bergantung kepada keperluan kandungan filem tersebut tetapi untuk mendapatkan pulangan pelaburan (ROI) dan keuntungan, ia memberikan cabaran yang besar.

“Sebagai contoh, filem yang diedarkan di negara ini membabitkan banyak prosedur termasuk penapisan filem dan kami perlu mendapat sijil mandatori iaitu A dan B untuk setiap lokasi sinema yang menayangkan filem berkenaan dan juga pembelanjaan lain yang diperlukan,”
katanya.

Saradha berbakat sebagai pelakon dan pengarah filem. (Foto: Saradha Sivalingam)

Saradha yang berpengalaman selama dua dekad terbabit dalam industri perfileman tempatan dan antarabangsa mengakui cabaran membawa filem antarabangsa untuk tayangan bukan suatu bisnes yang mudah.

“Produser dan pengedar antarabangsa lain biasanya akan menghubungi kami berdasarkan perhubungan bisnes kami yang lalu dan juga menerusi festival filem yang pernah kami kunjungi. Pemamer dan sub pengedar juga akan menawarkan lesen sesebuah filem itu kepada kami sebelum berbincang untuk mendapatkan harga yang terbaik,” katanya.

Saradha berpengalaman sebagai pengedar filem dan program TV ke seluruh dunia. (Foto: Saradha Sivalingam)

Dari aspek pandangan seorang pengarah filem, Saradha sentiasa mahukan penonton
mempunyai rasa dan minat terhadap filem yang dibawanya.

“Saya memilih cerita yang mempunyai kaitan dengan kehidupan seharian kita. Kadangkala ia memberikan tekanan apabila penonton tidak kenal bakat pelakon itu.

“Sebelum terjun dalam bidang pengedaran filem, saya terlebih dahulu menimba pengalaman sebagai pelakon sehingga karier seni saya berterusan ke tahap sekarang. Saya pernah melakonkan pelbagai watak dan karakter tetapi kesungguhan lakonan itu menunjukkan siapa
diri anda sebenar.

“Saya berpengalaman membintangi lebih 20 drama Tamil dan Melayu antaranya Bila Musang Berjanggut bersama produksi aktres hebat, Sheila Rusly; drama bersiri dengan Datuk Rosyam Nor berjudul Nigina serta heroin kepada Erry Putra menerusi telefilem Setulus Kasihmu,”
katanya.

Saradha bersama Erry Putra ketika membintangi telefilem, Setulus Kasihmu. (Foto: Saradha Sivalingam)

Tambahnya, selepas mempunyai cahaya mata, Saradha lebih fokus pada kerja bidang produksi dan pengedaran filem. Saradha merupakan pengedar filem Malaysia pertama yang mempunyai lesen untuk mengedarkan filem menerusi platform over-the-top (OTT) Amazon Prime Video (Prime Video) ke seluruh dunia termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat dan Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura dan Brunei.

Akuinya, cabaran penggiat seni pada zaman kini lebih besar selepas bisnes kebanyakan sinema lebih terarah kepada media digital.

“Sudah tentu kita semua perlu menyesuaikan diri dengan perubahan baru dalam industri filem semasa. Saya juga terus belajar dan mencuba perkara baru setiap hari.

“YouTube dan pelbagai platform media sosial lain memberikan anda peluang untuk mencuba filem anda sendiri. Sudah tentu, ia memerlukan masa dan kesabaran, tiada hasil atau kejayaan datang dengan mudah,” katanya.

Saradha mengakui cabaran penggiat seni pada zaman kini lebih besar berdepan media digital. (Foto: Saradha Sivalingam)

Saradha yang juga ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) berkongsi tips sebagai penyedia kandungan digital yang berjaya iaitu perkara pertama yang perlu difikirkan ialah membuat pilihan jenis kandungan yang ingin ditawarkan dan memikirkan cara untuk menghubungkan kandungan tersebut dengan khalayak.

“Jumlah penonton yang ramai membolehkan penyedia kandungan digital itu mendapat
pendapatan menerusi saluran media sosialnya. Memuat naik kandungan yang menarik akan memberi impak pada saluran media sosial itu sendiri.

Saya melihat filem tempatan kita sebenarnya berjaya menarik perhatian penonton di seluruh dunia. YouTube merupakan alat pemasaran terbaik untuk sesebuah kandungan dan saya berbangga apabila meraih anugerah YouTube Silver Button Holder dengan pencapaian
250,000 pelanggan,” katanya.

Saradha bersama penyanyi ppular, Jacyln Victor. (Foto: Saradha Sivalingam)

Bagi tahun 2023, Saradha bersama KS Movie Sdn Bhd mempunyai lebih banyak judul filem yang akan diedarkan pada tahun ini termasuk beberapa projek filem terbesar yang akan masuk ke pawagam bermula Februari depan.

“Saya sendiri berpesan pada diri saya sendiri, jangan putus asa dalam mengejar sesuatu impian yang diharapkan. Begitu juga saya berhasrat menerbitkan filem yang akan mengiktiraf saya sebagai pembikin filem berjaya suatu hari nanti, mungkin impian saya itu menerbitkan filem genre seram selain meneruskan karier lakonan saya,” katanya.

Saradha sebagai Setiausaha Agung Persatuan Pengedar Filem India Malaysia (MIFDA). (Foto: Saradha Sivalingam)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *