PROFIMA pandang serius aduan kru produksi
2 min read
Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) memandang serius segala aduan dan keluhan ahli-ahlinya dalam kalangan kru produksi seluruh Malaysia berkenaan suasana persekitaran kerja yang masih bermasalah terutama melibatkan aspek kebajikan asas pekerja.
Presiden PROFIMA, Khalil Salleh berkata PROFIMA melihat suasana kondusif khususnya di lokasi pengambaran sangat penting dan memohon pihak syarikat produksi terutama penerbit dan pengurusan produksi itu sendiri juga pengarah filem memandang berat isu keselamatan dan keselesaan seluruh kru yang terlibat.
“Baru-baru ini pihak PROFIMA masih lagi menerima aduan dan keluhan daripada beberapa kru filem berkaitan kebajikan yang amat mengecewakan, ianya melibatkan penyediaan makanan dan minuman, kebersihan tempat penginapan dalam suasana selamat, keupayaan kenderaan yang selamat, keselamatan persekitaran dan kesihatan terpelihara di sepanjang tempoh bertugas di lokasi penggambaran mahupun sebelum pengambaran dimulakan.
“Kami berharap, pihak bertanggungjawab tidak memandang ringan atas isu-isu penting sebegini dan menyarankan aspek kebajikan para petugas menjadi teras utama serta memberi fokus yang lebih di dalam proses penerbitan sesebuah filem mahupun program televisyen. Jika aspek ini dijaga, kami sangat yakin kualiti kerja seluruh kru akan meningkat dan dapat memberikan komitmen sepenuhnya dalam proses menghasilkan karya mereka dalam bidang kepakaran masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, PROFIMA akan selalu mengingatkan setiap kru yang sedang bertugas agar mengutamakan disiplin dan etika kerja yang baik, sesuai dengan tugasan masing-masing.
“Kami berharap ahli-ahli persatuan juga dapat mengangkat gaya kerja profesionalisme bagi menjaga nama baik setiap kerjaya dalam industri perfileman ini.
“Usaha berterusan ini perlu kami zahirkan dengan mengajak seluruh pihak penerbitan dan pengurusan produksi bekerjasama dalam meningkatkan kualiti persediaan sebelum, semasa dan selepas pengambaran diadakan secara kondusif dan mampan disamping meningkatkan hasil sesebuah karya filem,” katanya.
Ujarnya, kepekaan PROFIMA dalam hal kebajikan petugas seni ini adalah bagi mengubah dan memperbetulkan keadaan yang selayaknya mereka terima, selaras dengan usaha kami dalam membangunkan kerjaya perfileman sejajar dengan pembangunan filem negara kita ke arah globilasasi.
- Kafebuzz.my

