02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

PROFIMA mohon Kementerian Komunikasi dan Digital pandang serius isu tender kandungan RTM

2 min read

Ramai kru produksi tiada kerja buat masa ini.

Itu senario berlaku dalam industri kreatif tempatan ketika ini.

Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khalil Salleh berkata, pihaknya menerima banyak aduan dan keresahan dalam kalangan pekerja filem khususnya yang aktif dalam kerja-kerja melibatkan penerbitan program TV.

“Kebanyakannya tidak dapat bertahan lagi sehingga terpaksa melakukan pelbagai kerja sampingan dan ada yang sudah berpindah serta terpaksa menetap di kampung halaman buat sementara waktu,” katanya dalam satu kenyataan media.

Khalil Salleh

Menurutnya, stesen Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) adalah penyumbang terbesar kepada ekonomi membabitkan pekerja-pekerja yang juga ahli PROFIMA yang sehingga kini semua penerbit masih ternanti-nanti keputusan tender kandungan yang telah melalui sesi saringan pitching proposal pada sekitar Jun hingga Julai lepas.

“Namun sehingga kini masih tiada berita akan dianugerahkan tender-tender ini kepada penerbit. PROFIMA melihat peluang kerjaya melalui sumber utama ini (program TV RTM) tidak berjalan seperti tahun-tahun sebelumnya. Malah tahun 2023 belum ada satu penganugerahan tender rancangan TV dibuat oleh pihak stesen kerajaan ini,” katanya.

Tambahnya, kelancaran pihak RTM memberikan projek perolehan melalui RTM kepada penerbit adalah sumber penting yang menyumbang sebahagian besar kepada peluang kerjaya kru filem khususnya pekerja belakang tabir.

“Sekarang sudah Ogos, stesen TV kerajaan yang menjadi tempat bergantung masih belum keluarkan tawaran perolehan rancangan TV yang baru, ianya sangat memberi kesan. PROFIMA juga mendapat aduan dan rungutan daripada ramai kru filem yang sudah lama tiada peluang kerja.

“PROFIMA memohon pihak pemerintah, khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital melalui RTM memandang serius perkara ini, kerana kesannya adalah kepada hampir 1,500 pekerja filem yang tertumpu kepada peluang pekerjaan melalui pelbagai bidang kerjaya khususnya projek dari RTM,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *