PROFIMA dan PERKESO bekerjasama jaga kebajikan kru produksi
2 min read
Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) meneruskan perjuangan mereka mengutamakan penyelesaian isu kebajikan dalam kalangan ahli-ahli menerusi kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Presiden PROFIMA, Khalil Saleh berkata, isu berkaitan caruman PERKESO merupakan salah satu agenda perjuangan dan teras misi pentadbiran PROFIMA yang lebih mengutamakan penyelesaian isu kebajikan ahli.
“PROFIMA mempunyai ahli berdaftar seramai 23,000 dan 7,000 ahli aktif di lapangan, masih belum mencapai kesedaran berkaitan faedah dan manfaat besar daripada caruman PERKESO iaitu melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah sektor kesenian,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, PERKESO memaklumkan sehingga kini Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri masih belum mendapat sambutan menyeluruh dalam kalangan penggiat filem dan seni tanah air meskipun inisiatif diskaun diberikan.
“PROFIMA antara persatuan filem yang tampil bekerjasama selain persatuan-persatuan perfileman yang lain.
“Kami merakamkan setinggi penghargaan kepada Ketua Pengarah PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, Tuan Haji Azhar Md Nadzri (Ketua Bahagian Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri) serta pegawai-pegawai PERKESO di atas penerimaan dan sambutan deligasi kami, hari ini,” katanya.
Hadir sama, Zaidatul Shima selaku Setiausaha Agung, Azeem Azaruddin (Bendahari Agung), Intan Azlina (Ketua Biro Kebajikan) dan Ahli Jawatankuasa iaitu Yusof Harun dan Chelladurai.

Tambahnya, PROFIMA dan PERKESO bersetuju mengadakan kempen menyeluruh caruman kepada ahli PROFIMA, penganjuran program bersama, PROFIMA sebagai agen korporat PERKESO dan beberapa kerjasama lain demi kebaikan kedua pihak.
“Semoga isu caruman PERKESO untuk ahli PROFIMA ini mendapat sambutan dan penglibatan menyeluruh dengan penuh komited serta dapat menyelesaikan isu lama yang menjadi fokus utama PROFIMA dalam menyelesaikan kebajikan khususnya keselamatan di tempat dan waktu bekerja kru filem Malaysia,” katanya.
- Kafebuzz.my

