02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

PROFIMA bersama DOSH fokus isu keselamatan dan kesihatan pekerja industri filem

2 min read

Isu keselamatan dan kesihatan pekerja industri filem perlu dipandang serius.

Justeru, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) mengambil inisiatif mengadakan pertemuan dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH) untuk membincangkan kedua isu penting tersebut.

Presiden PROFIMA, Khalil Saleh berkata, langkah ini diambil selepas melihat keberkesanan pegawai protokol penggambaran (PPP) semasa pencegahan COVID-19 bagi sektor penggambaran yang berkesan dan semua pihak mengikutinya.

“PROFIMA juga mendapat beberapa aduan pelbagai peringkat bidang kerja ahli-ahli tentang soal keselamatan dan kesihatan yang langsung tiada perhatian, tiada langkah untuk diambil berat dan tiada penguatkuasaan daripada pihak pengurusan penerbitan terutama di lokasi terlibat,” katanya dalam satu kenyataan media.

Khalil (tiga dari kanan) bertukar cenderamata dengan pihak DOSH. (Foto: PROFIMA)

Khalil menambah, PROFIMA cakna tentang keselamatan dan kesihatan pekerja filem terutama di lokasi penggambaran kerana tiada pihak yang mementingkan hal ini selain leka menghabiskan kerja penggambaran dan mengejar tarikh siap projek yang dijadualkan.

“Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, semua sektor terlibat dan termaktub dalam akta kecuali beberapa tempat sahaja. Pekerja filem dalam pekerjaan dunia penggambaran wajib mematuhi dan perlu menitikberatkan keselamatan dan kesihatan terutama dalam kumpulan kerja lebih daripada 5 orang pekerja dalam satu lokasi.

“Dalam pertemuan PROFIMA bersama Pengarah DOSH Selangor, Bahruddin Mamat dan semua pegawai yang turut sama, beberapa informasi penting terutama tentang penerangan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, rancangan untuk latihan kepada ahli PROFIMA dan kerjasama dalam beberapa perkara berkaitan dibincangkan,” katanya.

PROFIMA bertindak membincangkan pelbagai isu keselamatan dan kesihatan membabitkan pekerja industri filem. (Foto: PROFIMA)

Hadir sama pada pertemuan tersebut adalah Timbalan Presiden PROFIMA, Misnin Ehsan bersama Yusof Harun (Ketua Biro Perhubungan Agensi).

Khalil memberitahu, hasil perjumpaan ini antaranya persetujuan awal PROFIMA akan mewujudkan kumpulan awal (pilot group) bagi menjalani kursus sebagai koordinator OSH (Keselamatan & Kesihatan Pekerja) bertujuan memantau aktiviti penggambaran di seluruh negara.

“Ianya akan diperhalusi dan akan mencadangkan kepada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) supaya menjadi kemestian dalam semua kumpulan penggambaran bermula dengan penggambaran filem dan iklan di negara ini.

“Semoga isu ini menjadi sebahagian perkara penting dan dapat dipraktiskan oleh semua penggiat filem, penerbit yang merupakan majikan serta pengurusan produksi demi keselesaan keselamatan dan kesihatan pekerja filem Malaysia. Risiko ini perlu diambil berat oleh semua pihak dengan menggembleng tenaga bersama,” katanya.

PROFIMA akan mewujudkan kumpulan awal menjalani kursus sebagai koordinator OSH. (Foto: PROFIMA)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *